Gambar hiasan

Di Malaysia, warga emas ditakrifkan sebagai individu berumur 60 tahun ke atas. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2024, populasi warga emas di negara ini mencapai 11.6% daripada jumlah penduduk, dan angka ini dijangka meningkat kepada 15% menjelang 2030.

Golongan wanita membentuk sebahagian besar daripada kumpulan ini, menjadikan keperluan mereka terhadap sistem pengangkutan awam amat penting. Mobiliti yang baik bukan sahaja membantu mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih mudah tetapi juga memastikan mereka kekal aktif dan berinteraksi dalam masyarakat.

Salah satu keperluan bagi warga emas wanita ialah pengangkutan yang selamat dan mudah diakses. Kemudahan seperti laluan bertutup, tempat duduk khas, dan pengangkutan mesra pengguna amat penting untuk memastikan keselamatan dan keselesaan mereka.

Selain itu, keperluan kepada frekuensi perkhidmatan pengangkutan awam yang tinggi juga penting. Perkhidmatan bas dan tren yang tidak menepati jadual atau tidak mencukupi menyukarkan mereka untuk bergerak, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau di bandar yang berkepadatan tinggi.

Di dalam satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Malaya yang diketuai oleh Dr Melastura Md Dali pada tahun 2024, menyatakan konteks sosial dan persekitaran yang dinamik golongan warga emas memberi kesan yang besar terhadap kehidupan harian mereka, terutamanya bagi mereka yang tinggal secara berdikari.

Dalam era digital teknologi yang semakin canggih, kehidupan warga emas juga perlu melalui perubahan akibat proses pendigitilan ini.

Walau bagaimanapun, alternatif kepada sistem digital perlu disediakan kerana tidak semua warga emas mahir menggunakan teknologi, seperti aplikasi mudah alih untuk menempah perkhidmatan pengangkutan.

Semakin banyak perkhidmatan pengangkutan kini menggunakan aplikasi mudah alih untuk pembayaran tambang dan tempahan perkhidmatan. Adakah kemudahan ini memudahkan golongan warga emas dan bagaimana perkhidmatan ini mampu di capai oleh mereka?

Aplikasi digital ini amat memudahkan pengguna muda, namun, ia menjadi cabaran besar bagi warga emas, terutamanya bagi warga emas yang kurang mahir dalam teknologi.

Laporan Tahunan Jabatan Perkhidmatan Awam 2021 menunjukkan bahawa 57.98% warga emas menghadapi kesukaran menggunakan sistem dalam talian, manakala 59.67% menghadapi masalah mengakses portal perkhidmatan kerana ketiadaan peranti yang sesuai atau masalah capaian internet.

Ini menyebabkan mereka bergantung kepada ahli keluarga atau pihak lain untuk mendapatkan pengangkutan, yang secara tidak langsung mengurangkan kebebasan mereka. Ditambah dengan masalah kurang penglihatan dan penurunan kemahiran motorik halus yang menyukarkan penggunaan telofon pintar kepada mereka.

Selain itu, penggunaan aplikasi mudah alih juga mendedahkan warga emas terutama kaum wanita kepada risiko penipuan dalam talian atau scamming. Terdapat banyak kes di mana mereka ditipu melalui aplikasi palsu atau penyedia perkhidmatan yang tidak sah di dalam dan luar negara.

Scammer mengambil kesempatan terhadap ketidakupayaan mereka untuk memahami sepenuhnya terma dan syarat penggunaan aplikasi.

Kes-kes seperti penipuan bayaran, pencurian maklumat peribadi, dan caj tersembunyi sering berlaku, menjadikan mereka lebih rentan terhadap eksploitasi. Gabungan aplikasi teknologi dalam pengangkutan awam sewajarnya memberi kelebihan akses fzikal yang lebih baik tetapi telah menyukarkan warga emas dan kajian lanjut harus dijalankan bagi memastikan lebih ramai warga emas mampu dan bijak menggunakan aplikasi tersebut.

Usaha untuk memastikan kebergantungan penggunaan applikasi oleh warga emas secara sendiri perlu diarus perdanakan kerana kemajuan teknologi termasuklah penggunaan aplikasi mudah alih di dalam pengangkutan awam tidak dapat lagi dielakkan di masa hadapan sealiran dengan kemajuan teknologi dan pembangunan pesat negara.

Kita tidak mahu warga emas tertinggal dalam arus digitalisasi pengangkutan awam, pada masa yang sama terjebak dan terperangkap di dalam satu masalah yang akan menurunkan kualiti hidup warga emas kita dan mewujudkan masalah psikososial yang lain.

Tambahan pula, masalah keselamatan dalam pengangkutan awam juga menjadi kebimbangan. Terdapat laporan mengenai kes ragut, gangguan seksual, dan kecurian yang sering berlaku kepada golongan warga emas yang terpaksa menaiki pengangkutan awam tanpa pengawasan.

Hal ini lebih merisaukan bagi warga emas wanita yang lebih terdedah kepada risiko jenayah.

Sejajar dengan perubahan ini, pihak berkuasa perlu mengambil langkah-langkah segera untuk menjadikan sistem pengangkutan awam lebih mesra warga emas terutamanya di dalam bandaraya besar seperti Kuala Lumpur.

Penyediaan perkhidmatan awam perlu mengenalpasti kaedah alternatif selain aplikasi mudah alih, seperti pembayaran secara tunai atau kaunter fizikal, penggunaan teknologi biometrik (pengecaman wajah atau cap jari) bagi mereka yang tidak celik teknologi di dalam beberapa tempoh sehingga penggunaan peranti dan apps yang berkaitan menjadi budaya seharian.

Di samping itu, kesedaran tentang penipuan digital juga perlu ditingkatkan bagi memastikan warga emas terutama golongan wanita tidak menjadi mangsa scam.

Dengan usaha yang bersepadu, kita dapat memastikan sistem pengangkutan awam lebih inklusif, mesra pengguna dan selamat untuk semua lapisan masyarakat, khususnya bagi warga emas wanita yang memerlukannya.

Oleh,

Dr Yong Adilah Shamsul Harumain dan Dr Melasutra Md Dali

Kedua-dua penulis adalah dari Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here