GEORGE TOWN- Malaysia akan mengemukakan lima agenda utama dalam Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang berlangsung di sini esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbincangan itu bertujuan untuk menetapkan dasar-dasar penting yang akan dibawa dalam mesyuarat ADMM pada bulan November nanti.
Lima agenda yang akan menjadi fokus dalam perbincangan itu adalah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber; keselamatan maritim; pasukan penyelamat bencana dan kemanusiaan ASEAN serta rantaian pembekalan pertahanan serantau dan bio sekuriti.

Tegasnya, perbincangan itu amat penting untuk memperkukuh kerjasama pertahanan di kalangan negara-negara ASEAN, terutama dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
“Kita akan mencadangkan agar negara-negara ASEAN membincangkan cabaran keselamatan yang timbul akibat penyalahgunaan teknologi AI dalam sektor pertahanan sambil menggalakkan penggunaan teknologi ini untuk meningkatkan kecekapan pertahanan.
“Selain itu, kita mencadangkan pembentukan pasukan bantuan bencana ASEAN untuk bertindak lebih cepat dan berkesan dalam memberikan bantuan kemanusiaan dalam kalangan negara-negara terlibat.
“Kita juga akan menekankan perlunya negara-negara ASEAN memperkukuh kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan tempatan, termasuk membangunkan rantaian pembekalan pertahanan serantau untuk mengurangkan kebergantungan pada negara luar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi mesyuara ADMM yang bakal berlangsung esok di Hotel Shangri-La Rasa Sayang di Batu Feringghi hari ini.
Kira-kira 159 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN dijangka menghadiri pemukiman tersebut.
Tambah Mohamed Khaled, pihaknya percaya dengan pendekatan kolektif melalui ASEAN, negara-negara anggota dapat menangani pelbagai cabaran ini dengan lebih berkesan sambil mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau.
Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini dan 13 daripadanya dilakukan di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette