Isu gelatin tidak halal dalam produk makanan seperti marshmallow bukan perkara baharu, namun masih kurang dibincangkan secara terbuka.
Tahun lalu, Timbalan Pengerusi Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sahilah Abdul Mutalib pernah mendedahkan kepada media tempatan 75 peratus marshmallow di pasaran tempatan mengandungi gelatin tidak halal.
Situasi ini membimbangkan pengguna, khususnya umat Islam berisiko menggunakan produk syubhah (was-was) tanpa disedari.
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga pernah tampil menegaskan bahawa kesedaran tentang isu ini perlu ditingkatkan, baik dalam
kalangan pengeluar makanan mahu pun pengguna.
Tidak lain tidak bukan, ia adalah untuk memastikan bahawa pilihan yang tersedia di pasaran sentiasa memenuhi keperluan pemakanan halal.
Bagi Persatuan Legasi Komuniti Progresif (PLKP) kegagalan pihak berkuasa meningkatkan kesedaran awam mengenai isu ini sangat membimbangkan kerana ia tidak mencukupi dengan kenyataan media sahaja.
Kekurangan pendidikan dan maklumat yang tepat menyebabkan pengguna kurang peka terhadap sumber dan status halal gelatin yang digunakan dalam produk makanan.
Masalah menjadi lebih rumit apabila isu pembungkusan semula dan penjualan pukal menyumbang kepada pengawasan pensijilan halal.
Pengeluaran marshmallow moden kini bergantung kepada gelatin yang diperoleh daripada haiwan.
Ujian ke atas 20 sampel marshmallow menunjukkan bahawa 70 hingga 75 peratus daripadanya mengandungi DNA babi, manakala selebihnya mengandungi DNA lembu atau campuran kedua-duanya.
Penggunaan gelatin daripada sumber berbeza ini sama ada dari tulang atau kulit menimbulkan kebimbangan kerana ia menyukarkan pengesahan status halal.
Lebih memburukkan keadaan, kurang daripada tujuh peratus gelatin di pasaran global yang diperakui halal, menjadikan pengguna Islam berdepan cabaran besar dalam memastikan
produk yang dibeli adalah benar-benar halal.
Pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu lebih proaktif dalam mendidik orang ramai tentang isu gelatin sama ada dari tulang atau kulit.
Kempen kesedaran awam perlu diperhebat melalui media massa dan program pendidikan agar pengguna lebih peka terhadap kepentingan menyemak label produk dan mengenali sumber
gelatin yang digunakan.
Namun, kekurangan tindakan daripada pihak berkuasa menyebabkan orang awam mengambil inisiatif untuk mendidik masyarakat tentang isu ini.
Pengguna dinasihatkan untuk mencari alternatif seperti marshmallow yang menggunakan gelatin halal atau pengganti lain yang sesuai untuk diet halal.
Kesedaran tentang isu ini perlu ditingkatkan dalam kalangan pengeluar dan pengguna makanan agar pilihan yang ada di pasaran memenuhi keperluan pemakanan halal.
Kelemahan dalam persijilan halal, tetapi juga kegagalan pihak berkuasa dalam memantau produk yang tidak halal dijual berleluasa serta kurang inisiatif untuk mendidik pengguna
mengenai penggunaan gelatin dalam produk makanan.
Perlu ada usaha lebih menyeluruh dan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan NGO bagi memastikan pengguna Islam mendapat maklumat yang tepat dan tidak terdedah kepada risiko
produk syubhah.
Adalah penting untuk isu ini tidak lagi ‘dibisukan’ demi kepentingan dan keselamatan pengguna Islam di Malaysia.
Oleh Zarul Hafiz
Penulis adalah pempengaruh media sosial dan Ketua Unit Pendidikan Awam Persatuan Legasi
Komuniti Progesif