KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengesahkan sudah mempunyai calon untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon daripada tiga sayap parti itu yang sesuai menghadapi PRK tersebut.
“Sudah tentu (Pemuda UMNO ada calon),” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Akmal berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Angkatan Muda Partai Golkar Indonesia (AMPG) di Bangunan UMNO.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, sebagai mana sayap-sayap lain, Pemuda UMNO akan mengemukakan nama calon untuk dinilai Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Setiap kali PRK kita akan melobi, jadi itu sudah tentu baik Pemuda, Wanita mahupun Puteri mahupun siapa sahaja.
“Itu adalah perkara biasa tetapi kita serahkan, kita (akan) bagi nama kepada pucuk pimpinan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kita serahkan kepada kebijaksanaan Presiden untuk menilai,” katanya.
Ahmad Zahid hari ini memaklumkan Notis Pemakluman Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning telah diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memandangkan tempoh mengadakan PRK itu adalah 60 hari daripada notis yang dikeluarkan.
Ishsam, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang, Sabtu.
Sehubungan dengan itu, PRK DUN Ayer Kuning perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon BN memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.
Beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain. – MalaysiaGazette