KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengumumkan bentuk bantuan pembangunan semula institusi pengajian tinggi bukan sahaja di Gaza tetapi juga di Baitul Maqdis khususnya Universiti Al-Quds, dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sendiri telah melakukan pertemuan empat mata dengan pihak pentadbiran Universiti Al-Quds bagi membincangkan hala tuju bantuan pendidikan yang diperlukan rakyat Palestin.
“Perdana Menteri telah memaklumkan kepada saya untuk saya memperhalusi cadangan penubuhan tabung pendidikan yang berkaitan dengan Universiti Al-Quds yang ada di sana di Baitul Maqdis.
“Ada dua institusi di sana, di mana rektornya telah datang berjumpa dengan saya sebelum saya sampai ke sini. Dalam perbincangan tersebut, kita telah berbincang sedikit bagaimana dapat bantu semula di kawasan Baitul Maqdis.
“Mereka menghadapi kesulitan kerana universiti mereka tidak dapat menampung (kos) kerana mereka mempunyai bilangan pelajar yang begitu ramai,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Peluncuran Program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP) di Hotel Sunway Putra.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Tabung Wakaf Khas Pendidikan bagi membantu institusi pendidikan di Gaza dan Baitul Maqdis termasuk sekolah-sekolah dan Universiti Al-Quds.
Zambri menggesa rakyat Malaysia untuk menyokong usaha kerajaan itu dalam pembinaan semula Palestin bukan sahaja di Gaza bahkan Baitul Maqdis selepas menjadi mangsa pembantaian rejim Israel.
“Selama ini mereka tersekat disebabkan oleh dasar-dasar yang dilaksanakan oleh rejim Israel ini jadi perbincangan telah pun diadakan.
“Kita akan umumkan nanti apa peningkatan yang terbaik untuk kita turut membantu mereka,” katanya.
Katanya, orang ramai diingatkan tidak memandang serong usaha kerajaan kerana pembangunan semula Gaza itu dilakukan atas prinsip kemanusiaan.
“Saya harap tidak ada pandangan-pandangan yang sinis mengatakan itu dan ini kenapa kita perlu ini dan dari segi nilai kemanusiaan yang perlu ada kepada setiap kita.
“Jangan lupa di luar sana, ada penderitaan manusia yang lain pada hari ini terutama menghadapi suasana itu.
“Kita tidak tahu nanti masyarakat akan datang mungkin juga akan berlaku kepada kita dan inilah bentuk nilai-nilai kemanusiaan yang perlu kita terapkan dalam jiwa,” katanya. – MalaysiaGazette