KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperketat tahap keselamatan bagi produk bayi, termasuk lampin pakai buang, bagi memastikan keselamatan pengguna, terutamanya kanak-kanak.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, ketika ini belum ada ‘standard’ keselamatan khas berkaitan produk bayi secara menyeluruh.
Menurut Fuziah, sejak 2015, Bahagian Kepenggunaan KPDN hanya menerima empat aduan berkaitan lampin pakai buang melibatkan barangan tiruan serta dakwaan lampin yang telah tamat tempoh sehingga menyebabkan ruam dan masalah kulit bayi.
“Pada tahun 2017, KPDN pernah mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat di Sungai Petani yang mengedar lampin pakai buang tiruan, dengan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Menyedari kepentingan keselamatan produk bayi, KPDN akan memulakan pembangunan standard bagi kategori ini selaras dengan Akta Perlindungan Pengguna 1999, Seksyen 19, yang memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk menetapkan standard keselamatan bagi barang dan perkhidmatan.
“Namun, kita juga dapati terdapat pertindihan bidang kuasa dan kelompongan dalam kawal selia standard lampin pakai buang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin tahu tindakan KPDN terhadap kerisauan lampin bayi yang tercemar dengan bahan kimia berbahaya serta rancangan menetapkan standard keselamatan lebih ketat bagi produk bayi.
Tambah Fuziah, ketika ini terdapat 15 agensi yang terlibat dalam pembangunan standard, termasuk SIRIM dan Medical Device Authority (MDA), yang turut menjalankan kajian serta ujian ke atas produk seperti lampin pakai buang dan tuala wanita.
Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi bagi memastikan pembangunan standard yang lebih berkesan antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kimia Malaysia serta lain-lain.
“Selain itu, Bahagian Standard di bawah KPDN juga telah berjaya membangunkan standard keselamatan bagi mainan bayi dan akan memperluaskan usaha ini kepada produk bayi lain secara menyeluruh.
“Insya-Allah, KPDN akan mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan produk bayi di Malaysia terus terjamin,” ujarnya. -MalaysiaGazette