Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MEI 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Seorang bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai kuasa mutlak mahupun bertindak sebagai diktator dalam operasi syarikat pelaburan strategik negara itu.

Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Artikel dan Memorandum Persatuan (M&A) 1MDB tidak memberi kuasa kepada beliau untuk bertindak seperti diktator.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, Najib yang ketika itu Perdana Menteri melantik dirinya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Najib adalah pemegang saham tunggal 1MDB kerana beliau adalah Menteri Kewangan ketika itu manakala 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Menurut saksi pembelaan ke-12 (DW12), terdapat banyak aspek dalam pengendalian 1MDB yang tidak memerlukan kelulusan di bawah Perkara 117 M&A.

Mengikut Perkara 117 M&A 1MDB, setiap keputusan penting mestilah di bawah arahan atau kelulusan Perdana Menteri.

Ujar beliau, jika Perdana Menteri dianggap seperti diktator di bawah Perkara 117, sudah tentu ia akan mengganggu operasi 1MDB dalam banyak perkara.

“Ini bermakna setiap perkara kecil yang perlu dijalankan memerlukan kelulusan Najib, jika Perkara 117 ditafsirkan sedemikian,” kata saksi itu.

Che Lodin turut berkata, tidak semua urusan dalam syarikat 1MDB perlu melalui kelulusan pemegang saham di mana kuasa membuat keputusan terletak pada Lembaga Pengarah (BOD).

Che Lodin menyatakan demikian pada perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 billion dana 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri.

Dalam keterangannya, saksi turut berkata, beliau disiasat lebih sebulan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes penyelewengan dana syarikat itu.

Beliau tidak dapat mengingati jumlah hari yang tepat tetapi mengesahkan siasatan dijalankan melebihi tempoh sebulan manakala proses rakaman percakapan kadang-kadang mengambil masa sepanjang hari.

“Kadang-kadang, ia berlaku sehingga pukul 7 atau 8 malam dan ini berterusan selama kira-kira sebulan,” katanya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Dalam keterangannya, Che Lodin juga meluangkan masa selama 20 jam berbincang dengan pasukan pembelaan Najib semasa menyediakan keterangan saksi setebal 200 muka surat.

“Saya telah berusaha sedaya upaya untuk membentangkan apa yang  jelas dan sebenarnya berlaku dalam operasi 1MDB semasa menjadi pengarah dan pengerusi kemudiannya,” kata saksi berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here