KAJANG – Pasaran hartanah Malaysia mencatatkan rekod pertumbuhan tertinggi pada tahun 2024, dengan peningkatan signifikan dalam bilangan dan nilai transaksi.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bilangan transaksi hartanah meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada 420,545 transaksi, manakala nilai keseluruhan transaksi melonjak 18 peratus kepada RM232.3 bilion tahun lalu.
“Angka ini jauh lebih tinggi berbanding tahun 2023, yang merekodkan 399,008 transaksi dengan nilai RM196.8 bilion.
“Prasarana primer turut mengalami pertumbuhan ketara dengan peningkatan sebanyak 31.1 peratus kepada 75,784 unit manakala prestasi jualan bagi sektor ini turut meningkat kepada 37.3 peratus sepanjang tahun.
“Dalam masa yang sama, bilangan hartanah kediaman siap dibina tetapi tidak terjual (overhang) mencatatkan penurunan kepada 23,149 unit dengan nilai RM13.94 bilion, berbanding 25,816 unit bernilai RM17.68 bilion pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berucap demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2024 di Dewan Jubli, Institut Penilaian Negara (INSPEN), di sini, hari ini.
Dari segi harga, Indeks Harga Rumah Malaysia menunjukkan pertumbuhan sederhana pada kadar 3.3 peratus, dengan harga purata rumah kini mencecah RM486,678 seunit.
“Semua negeri mengalami pertumbuhan sederhana antara 0.6 peratus hingga 5.5 peratus di mana rumah jenis berkembar merekodkan peningkatan tertinggi pada kadar 4.1 peratus, diikuti rumah teres (3.6), rumah sebuah (2.6), dan bangunan bertingkat tinggi (2.3).
“Pertumbuhan pesat pasaran hartanah pada tahun 2024 dipacu oleh ekonomi negara yang berkembang pada kadar 5.1 peratus, selain pelaksanaan pelbagai usaha dan inisiatif kerajaan,” tambahnya.
Di bawah rangka ekonomi Madani, beberapa langkah telah diperkenalkan untuk merancakkan pasaran hartanah, termasuk pelonggaran syarat program Malaysia My Second Home (MM2H), pelaksanaan projek industri utama di wilayah utara, pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta penubuhan zon kewangan khas di Forest City.
“Inisiatif-inisiatif ini memberikan impak signifikan terhadap aktiviti pasaran hartanah dan menjadi pemangkin utama kepada prestasi luar biasa yang dicatatkan dalam tempoh sedekad.
“Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun 2025, pasaran hartanah dijangka terus berkembang kukuh, disokong oleh aktiviti transaksi yang mampan dan pertumbuhan dalam sektor pembinaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette