KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk memperkukuh sistem perkhidmatan kecemasan, khususnya dalam memastikan ambulans tiba tepat pada masanya bagi mengelakkan insiden-insiden mengancam nyawa.
Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia, Datuk N Sivakumar mempersoalkan keberkesanan teknologi canggih yang tersedia jika ia tidak digunakan untuk menyelesaikan isu kritikal seperti kelewatan ambulans dalam situasi kecemasan.
“Kita berada dalam era kecerdasan buatan (AI) yang mampu memudahkan urusan harian, tetapi masih bergelut dengan masalah infrastruktur asas.
“Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai seorang mangsa kemalangan yang terpaksa menunggu ambulans terlalu lama, sedangkan bantuan sepatutnya diberikan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Dakwa Sivakumar, beliau sendiri menerima banyak aduan mengenai kelewatan ambulans, termasuk kes di mana orang awam diberitahu bahawa mereka perlu menunggu sehingga tiga jam.
“Apa sudah jadi dengan Kementerian Kesihatan kita? Jika makanan yang dipesan melalui aplikasi lambat seminit, aduan dibuat segera. Tetapi, apabila ambulans lambat tiba, mengapa rakyat masih berdiam diri? Mengapa tiada aduan terbuka kepada Menteri Kesihatan?,” soalnya.
Beliau turut menekankan bahawa dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM45.3 bilion kepada sektor kesihatan, namun isu seperti kekurangan ambulans dan kelemahan sistem talian kecemasan masih berlarutan.
“Saya tidak menafikan usaha para petugas kesihatan dan pemandu ambulans yang menjalankan tugas mereka dengan baik, tetapi masalah utama ialah kekurangan fasiliti serta ambulans yang mencukupi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar KKM memperkenalkan aplikasi kecemasan mudah alih yang membolehkan rakyat menghubungi pusat kesihatan terdekat dengan lebih cepat dan cekap.
“Jika aplikasi tempahan makanan boleh berfungsi dengan efisien, mengapa tidak untuk kecemasan? Aplikasi seperti MySejahtera boleh diperluaskan fungsinya untuk memudahkan rakyat mendapatkan bantuan perubatan segera.
“Jika situasi ini berlaku di bandar sudah begini, bayangkan keadaan di kawasan pedalaman. Wakil rakyat perlu bertindak segera. Jangan hanya muncul selepas musibah berlaku untuk bergambar seolah-olah membantu rakyat,” tegasnya.
Tegasnya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, harus segera menyelesaikan isu ini sebelum keadaan menjadi lebih buruk. -MalaysiaGazette