KUALA LUMPUR – Meskipun mendakwa Perikatan Nasional (PN) mempunyai ramai calon Perdana Menteri, namun sehingga kini tidak ada satu calon pun yang dinamakan.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat mendakwa, Pas dilihat tidak menamakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri yang layak.
“Setiausaha Politik Presiden Pas Mohd Syahir Che Sulaiman boleh terus mengkritik kerajaan perpaduan dan Anwar Ibrahim tetapi adakah dia mampu menjawab satu soalan mudah – siapa calon Perdana Menteri dari PN?
“Pas sendiri pernah menolak (Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal Perdana Menteri PN. Tahun lepas, Hashim Jasin, Mursyidul Am Pas, secara terbuka menyatakan bahawa Pas tidak menerima Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, ini membuktikan PN tidak pernah sepakat dalam menentukan pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri.
“Syahir Sulaiman dan pemimpin PN boleh cuba mengelirukan rakyat, tetapi mereka tidak boleh menyembunyikan hakikat perpecahan di dalam PN semakin nyata, dan mereka tiada kepimpinan yang berwibawa untuk menerajui negara,” katanya lagi.
Malah menurut Chua, Pas sepatutnya tidak perlu takut dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana parti terbesar dalam perikatan berhak menamakan calon mereka.
Terdahulu, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Mohamad Nazri Aziz menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-11 atas faktor ketiadaan pengganti setanding dalam parti lain termasuk UMNO.
Kemudian, Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata golongan teknokrat dilihat boleh menggantikan Anwar.-MalaysiaGazette