PENJAGAAN kesihatan di Malaysia semakin menjadi satu keistimewaan bukan hak asasi bukan kerana hospital mengenakan caj berlebihan tetapi kerana syarikat insurans menaikkan premium sambil mengurangkan perlindungan.
Pesakit terpaksa membayar lebih tetapi mendapat kurang manfaat, manakala mereka yang tidak mempunyai insurans berdepan kesukaran untuk mendapatkan rawatan asas.
Hospital Semakin Mahal—Tetapi Siapa Sebenarnya yang Bersalah?
Ramai rakyat Malaysia menyalahkan hospital atas kenaikan kos perubatan tetapi doktor dan pakar industri mendakwa bahawa syarikat insurans adalah punca sebenarnya.
Hospital swasta bergantung kepada rawatan canggih, pakar perubatan terbaik dan ubat berkualiti tinggi untuk memberikan rawatan terbaik.
Namun, insurans kini menghadkan perlindungan untuk perkhidmatan ini sambil terus menaikkan premium.
Seorang pegawai hospital mendedahkan hospital tidak menetapkan harga sesuka hati sebaliknya telah banyak melabur dalam teknologi canggih, doktor pakar dan penyelidikan untuk memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.
Tetapi syarikat insurans mengurangkan perlindungan menyebabkan pesakit semakin sukar mendapatkan rawatan walaupun mereka mempunyai insurans.
Keadaan lebih parah bagi mereka yang tidak mempunyai insurans. Dengan kos perubatan yang semakin tinggi, ramai rakyat Malaysia terpaksa menangguhkan rawatan atau memilih rawatan berkualiti rendah.
Bagi mereka yang memerlukan prosedur kecemasan, beban kewangan boleh menjadi sangat berat.
Sektor insurans tidak mengalami kerugian sebaliknya mereka mengaut keuntungan berbilion ringgit manaka pesakit bergelut dengan kos perubatan, syarikat insurans terus menaikkan premium tanpa alasan yang jelas.
Sebagai pemegang polisi, sememangnya mengejutkan apabila premium naik hingga 20 peratus sebegitu sahaja, ia bukan kes terpencil.
Ramai rakyat Malaysia terpaksa menurunkan kategori pelan insurans mereka atau membatalkannya kerana tidak mampu membayar premium yang semakin mahal.
Pakar perubatan menegaskan keputusan rawatan harus dibuat oleh doktor, bukan syarikat insurans yang hanya mahu mengurangkan kos.
Namun, insurans pula mengawal rawatan, menolak perlindungan untuk ujian diagnostik canggih, dan mengehadkan tempoh pesakit di hospital kerana mengutamakan keuntungan.
Penjagaan Kesihatan Semakin Menjadi Satu Kemewahan
Bagi ramai rakyat Malaysia, insurans sepatutnya menjadi jaring keselamatan. Namun kini ia menjadi satu beban kewangan tambahan.
Dengan premium yang meningkat dan manfaat yang berkurang, penjagaan kesihatan swasta semakin tidak mampu dimiliki sementara hospital kerajaan pula semakin sesak.
Tanpa pembaharuan segera, penjagaan kesihatan akan terus menjadi sesuatu yang sukar dicapai bukan kerana hospital terlalu mahal, tetapi kerana syarikat insurans lebih mengutamakan keuntungan berbanding kebajikan pesakit.
Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban. Kita perlukan sistem insurans yang mengutamakan kesihatan pesakit bukan hanya keuntungan pemegang saham.
Pembaca MalaysiaGazette