KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tetap mempunyai peluang untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning meskipun kerusi itu sebelum ini dikuasai Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia berdasarkan isu-isu yang melingkari rakyat ketika ini yang dilihat tidak berpihak kepada kerajaan.
Bagaimanapun, ujar beliau, masih terlalu awal untuk menyentuh berkenaan kebarangkalian untuk PN membuat kejutan di kerusi tersebut memandangkan pihak perlu menilai isu-isu di lapangan terlebih dahulu.
“Tetapi kita yakin jika rakyat berpegang kepada prinsip untuk memperbetulkan apa yang tidak betul dalam kerajaan hari ini dan mahu memberi signal (isyarat) yang tepat kepada kerajaan, maka mereka perlu beri undi kepada PN.
“Ini juga seperti apa yang berlaku pada PRK DUN Sungai Bakap yang mana kemenangan calon PN memberi sedikit kejutan kepada kerajaan untuk tidak melaksanakan dasar-dasar yang membebankan rakyat.
“Tetapi kalau seperti yang berlaku pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang mana undi terus diberikan kepada calon kerajaan, hadiahnya adalah kenaikan harga diesel,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan Bersatu, di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya berkenaan sama ada PN sudah membincangkan berkenaan calon yang akan diletakkan bertanding pada PRK DUN Ayer Kuning, Tun Faisal berkata, di peringkat Bersatu, perkara tersebut belum dibincangkan.
Sebaliknya, ujar beliau, tumpuan Bersatu ketika ini adalah untuk turun ke lapangan khususnya di Perak bagi melihat isu-isu di lapangan serta tahap sokongan semasa rakyat terhadap PN.
“Itu yang kita mulakan dahulu dan perkara sama juga kita akan lakukan dengan turun ke Sabah untuk tinjauan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan seterusnya akan fokus pula di Melaka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid akan memaklumkan kekosongan luar jangka kerusi DUN Ayer Kuning berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selasa ini.
Makluman rasmi itu bagi tindakan lanjut SPR termasuk mengadakan PRK.
Ishsam, 59, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang, Sabtu lalu, akibat serangan jantung selepas dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi menewaskan empat calon lain. – MalaysiaGazette