KUALA LUMPUR- Pasangan artis Aliff Aziz dan Ruhainies masing-masing didenda RM3,000 selepas menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan atas pertuduhan berkhalwat.
Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini berkata, hukuman tersebut dijatuhkan pada 21 Februari lalu.
Katanya, Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33, dan Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka, pada 3 Julai tahun lalu.
“Pada tarikh sebutan lepas iaitu pada 17 Oktober tahun lalu, prosiding sambung bicara ditetapkan tarikh 20 dan 27 Februari lalu selepas kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2024/07/03/aliff-ruhainies-mengaku-tak-bersalah-berkhalwat/
https://malaysiagazette.com/2024/07/03/aliff-sedih-ibu-jadi-sasaran-netizen/
“Bagaimanapun, peguam syarie tertuduh melalui surat bertarikh 18 Februari lalu memaklumkan kedua-dua anak guam berhasrat untuk menukar pengakuan dan memohon kepada pihak Mahkamah untuk pindaan tarikh pada 21 Februari.
“Selepas pertuduhan dibacakan semula dan kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah. Atas pengakuan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan kesalahan ke atas kedua-keduanya dan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda,” katanya.
Aliff dan Ruhainies masing-masing dituduh di bawah Seksyen 27 (a) dan 27 (b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta559], atas kesalahan berkhalwat.
Sebelum itu, pada 20 Jun tahun lalu Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat mereka yang berlaku di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Pihak media sebelum ini melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah.- MalaysiaGazette