Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited mengangkat martabat penghibur jalanan sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan ibu negara sebagai kota budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, sejak 2014 DBKL telah mengeluarkan permit rasmi bagi memastikan aktiviti busking dikawal selia secara profesional, sejajar dengan hasrat kerajaan memperkasa seni jalanan di Kuala Lumpur.

“Sebanyak 579 permit telah dikeluarkan kepada seniman jalanan yang terdiri daripada 374 individu dalam kategori Seni Persembahan Muzik (SPM) dan 205 individu dalam kategori Seni Visual Kreatif (SVK) seperti badut, maskot, ahli silap mata serta pelukis inai,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, Prabakaran M. Parameswaran yang bertanya sama ada DBKL mempunyai inisiatif untuk mengangkat martabat penghibur jalanan seperti kota-kota utama dunia lain seperti London dan Paris sebagai usaha promosi kota budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kata Dr Zaliha, DBKL telah menubuhkan Task Force KL Street Artist bagi memastikan penghibur jalanan yang berdaftar mematuhi garis panduan yang ditetapkan, termasuk lokasi persembahan, waktu operasi dan had bunyi yang dibenarkan.

Jelasnya, pasukan ini juga menjalankan pemantauan berkala serta bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangani isu kesesakan lalu lintas akibat aktiviti busking, terutama di kawasan tumpuan seperti Bukit Bintang.

Beliau menegaskan, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan berharap penghibur jalanan dapat menampilkan lebih banyak elemen seni budaya tempatan dalam persembahan mereka.

“Kita tidak mahu buskers sekadar memainkan lagu-lagu pop atau balada yang biasa didengar. Sebaliknya, mereka digalakkan membawa elemen muzik tradisional Malaysia seperti gamelan dan ghazal yang diberi sentuhan moden supaya dapat memperkenalkan warisan budaya negara kepada pelancong,” jelasnya.

Sementara itu, bagi memastikan mutu persembahan penghibur jalanan terus dipertingkatkan, DBKL mewajibkan semua pemegang permit menghadiri Bengkel Pemantapan KL Street Artist sebelum memperbaharui permit mereka.

Bengkel ini, katanya, bertujuan memberi pendedahan kepada penghibur jalanan mengenai etika persembahan, penampilan yang lebih profesional serta kepentingan menjaga imej sebagai duta budaya Kuala Lumpur.

“Selain daripada aspek seni, kita juga mahu buskers menjaga disiplin mereka dengan berpakaian lebih sopan dan berinteraksi dengan penonton secara profesional.

“Ini bukan sahaja membantu memperbaiki persembahan mereka, tetapi juga membentuk ekosistem seni jalanan yang lebih teratur dan berdaya saing.

“Kita yakin dengan pelaksanaan inisiatif ini, Kuala Lumpur akan dapat membina komuniti seni jalanan yang berkualiti, sekali gus menjadikan ibu kota sebagai tarikan budaya bertaraf antarabangsa,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here