Mohamad (tengah) menunjukkan kadar bayaran zakat fitrah di Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Umat Islam di Pulau Pinang diberi pilihan membayar zakat fitrah dalam empat kadar bagi tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, kadar zakat fitrah ditetapkan pada bayaran RM7, RM10, RM15 dan RM25 selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri serta diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Jelas beliau, mesyuarat fatwa juga bersetuju dengan laporan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bahawa makanan asasi utama rakyat Pulau Pinang ialah beras putih import, maka kadar zakat fitrah wajib ditunaikan adalah RM10.

“Empat kadar zakat fitrah yang ditetapkan ini memberi peluang kepada umat Islam negeri ini yang memiliki kelebihan daripada segi kemampuan menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi.

“Bagi mereka yang kurang berkemampuan dan mempunyai tanggungan ramai boleh membuat bayaran zakat pada kadar RM7 seperti ditetapkan pada tahun lalu.

“Kadar bayaran RM15 dikhususkan bagi kumpulan yang memakan beras rebus, beras Siam, beras putih import, beras perang atau setara dengannya, manakala bayaran RM25 ditetapkan bagi golongan yang memakan beras wangi, beras pulut, beras basmathi, beras Herba Ponni, beras Calrose, beras merah import atau setara dengannya,” katanya hari ini.

Mohamad menyampaikan watikah pentauliahan amil zakat Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun 1446H/2025M.

Pada majlis itu, ZPP MAINPP melantik seramai 1,689 amil zakat fitrah membabitkan 238 pusat kutipan dengan menyasarkan kutipan zakat berjumlah lebih RM7 juta untuk tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here