Kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur bagi mengurangkan masalah trafik, dengan unjuran awal menunjukkan langkah itu berpotensi mengurangkan kesesakan jalan raya sehingga 20 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kajian tersebut sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Katanya, ini melibatkan pelbagai aspek termasuk mekanisme pelaksanaan, kesan terhadap trafik serta kadar peningkatan penggunaan pengangkutan awam.

“Setakat ini, tiga bandar raya dikenal pasti berpotensi untuk melaksanakan caj kesesakan iaitu Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.

“Namun, memandangkan bidang kuasa saya hanya meliputi Wilayah Persekutuan, jawapan saya hari ini akan tertumpu kepada Kuala Lumpur sahaja,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Zaliha menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan sekiranya dilaksanakan dan jumlah penurunan kesesakan dijangka kerajaan.

Azman Nasrudin

Kata Zaliha, ketika ini kerajaan sedang meneliti beberapa mekanisme yang telah digunakan di bandar-bandar utama dunia.

Antaranya termasuk Electronic License Plate Reader seperti di New York yang mengenakan caj berdasarkan pembacaan nombor plat secara automatik, Electronic Road Pricing di Singapura yang mengenakan caj mengikut zon dan waktu tertentu, serta sistem Congestion Charge Zone di London yang mengenakan caj tetap bagi kenderaan memasuki kawasan bandar pada waktu puncak.

Kerajaan turut meneliti kaedah Road Space Rationing yang digunakan di Jakarta dan Beijing, di mana kenderaan persendirian hanya dibenarkan digunakan berdasarkan nombor plat ganjil atau genap pada hari tertentu.

“Pengalaman bandar seperti London dan Stockholm menunjukkan sistem ini boleh mengurangkan kesesakan sehingga 20 hingga 30 peratus manakala New York dan Singapura mencatatkan penurunan sekitar 10 hingga 15 peratus.

“Jika caj kesesakan dilaksanakan di Kuala Lumpur, kita menjangkakan kesan yang sama, dengan potensi penurunan kesesakan sebanyak 20 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kadar caj yang dikenakan perlu seimbang agar ia cukup berkesan untuk mengurangkan trafik tetapi tidak membebankan pengguna jalan raya.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, kajian yang dilakukan oleh Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 mendapati kesesakan jalan raya menyebabkan kerugian negara sebanyak RM20 bilion setahun.

“Berdasarkan anggaran ini, jika kita berjaya mengurangkan kesesakan sebanyak satu peratus terutama di kawasan Central Business District (CBD) seperti Bukit Bintang, Lembah Pantai, Setiawangsa dan Wangsa Maju, negara mampu menjimatkan RM200 juta,” jelasnya.

Difahamkan Kuala Lumpur mencatatkan 1.5 juta kenderaan keluar masuk setiap hari, dengan purata 6 juta kenderaan berada dalam ibu negara dalam satu-satu masa.

Namun kata Zaliha, kadar penggunaan pengangkutan awam kira-kira 25 peratus dengan ramai pengguna lebih memilih untuk memandu sendiri akibat kelemahan sistem ‘first mile-last mile’ dalam rangkaian pengangkutan awam.

Sementara itu, Zaliha bersetuju dengan pandangan Menteri Pengangkutan bahawa caj kesesakan tidak boleh dilaksanakan sebelum Kuala Lumpur memiliki sistem pengangkutan awam yang lengkap dan bersepadu.

“Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha menambah baik jaringan pengangkutan awam berjalan serentak dengan kajian caj kesesakan oleh Miros dan MGTC,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here