KOTA TINGGI – Seorang pelajar wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 32 Jalan Lok Heng-Mawai di sini hari ini.
Difahamkan mangsa, Nurul Adnin Sabtu yang berusia 19 tahun dan merupakan pelajar tingkatan enam dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.50 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga merah dipandu wanita berusia 19 tahun yang merupakan seorang pelajar dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh dalam gaung berhampiran.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan siasatan dan kes masih dalam siasatan polis bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan Mohd Rafi Mohd Nor berkata, tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga telah terjunam ke dalam gaung sedalam 25 kaki di Jalan Sri Perani menuju Felda Bukit Aping.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang mangsa berada dalam kereta tersebut. Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk membawa mangsa naik ke kawasan selamat,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Tambah beliau, operasi menyelamat berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 7.48 malam.- MalaysiaGazette