Gambar hiasan Foto AFP

GAZA- Tanpa dilengkapi pakaian seragam atau lembaran buku teks, pelajar Gaza kembali ke sekolah mereka yang musnah untuk menyambung pendidikan, meskipun berdepan cabaran besar akibat peperangan Israel baru-baru ini.

Samed Ihab, seorang pelajar berusia 13 tahun dari kem al-Bureij di tengah Gaza, antara ratusan pelajar yang bergegas kembali ke sekolah, berharap dapat menemukan meja yang masih utuh.

“Malangnya, kami tidak menemukan apa-apa, selain sisa-sisa bilik darjah dan dinding yang musnah,” kata Ihab kepada Xinhua, sambil berkongsi bahawa pakaian seragam sekolahnya hilang selepas beberapa kali berpindah bersama keluarganya sepanjang konflik.

Walaupun keadaan sukar, Ihab percaya pendidikan merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi kesukaran hidup.

“Saya mendapat kawan baharu yang berkongsi azam sama untuk terus belajar, tanpa mengira keadaan.

“Pendidikan adalah senjata kami melawan kejahilan dan kami percaya ilmu boleh mengubah dunia,” katanya.

Namun, kembali ke sekolah turut meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi Ihab.

“Saya mendapati ramai rakan sekelas saya tidak lagi ada di sini. Ada yang terbunuh oleh tentera Israel, dan ada yang terpaksa berpindah ke bahagian lain di Gaza,” katanya.

Pada Ahad, pihak berkuasa pendidikan Gaza mengumumkan permulaan tahun akademik baharu, menandakan kali pertama kelas disambung semula sejak perang Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Dalam satu sidang media, pihak berkuasa pendidikan mengesahkan bahawa ratusan ribu pelajar kini menghadiri kelas di tapak runtuhan sekolah mereka.

Dengan lebih 80 peratus sekolah musnah, ramai pelajar kini belajar di dalam khemah atau pusat pendidikan sementara, menurut pihak berkuasa pendidikan.

Pihak berkuasa juga memperkenalkan platform pendidikan dalam talian bagi mereka yang tidak dapat hadir ke sekolah.

Ibrahim Abdel Rahman, seorang pelajar dari kem Jabalia di utara Gaza, meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat kembali ke sekolah.

“Saya bermimpi untuk kembali ke sekolah dan bertemu dengan rakan-rakan dan guru-guru, tetapi kemusnahan sekolah menyebabkan itu mustahil.

“Malah, pembelajaran dalam talian adalah sukar kerana gangguan internet yang berterusan.

“Saya khuatir kehilangan tahun akademik atau pendidikan saya sepenuhnya jika keadaan ini berterusan,” katanya.

Sementara itu, Amina Hana, seorang guru bahasa Arab di Gaza berkata, walaupun berdepan kemusnahan harta benda, para pelajarnya menunjukkan keazaman yang kuat untuk terus belajar.

“Kami telah belajar daripada anak-anak ini bahawa pendidikan bukan sekadar usaha akademik, tetapi satu bentuk ketabahan menghadapi cabaran

“Harapan di dalam hati mereka lebih kuat mengatasi segala kesukaran,” katanya.

— BERNAMA-XINHUA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here