KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menarik balik lesen pengilang yang mencampurkan beras tempatan ke dalam pek import dan kemudian dijual dengan harga mahal di pasaran.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membuat gesaan itu susulan kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati beras import dan tempatan dicampur dalam pasaran.
“Beras putih tempatan hilang sebab ada petualang yang menipu rakyat! Saya minta biar pertualang-petualang yang dikatakan MARDI ini yang campurkan beras putih tempatan dan import , dijual dengan harga import ditarik balik lesen mereka.
“Wajib tarik lesen petualang ini dan dah tiba masanya kita perlu perkasakan pesawah kita untuk mereka dibenarkan untuk proses padi mereka sendiri! Jangan bagi mereka masuk dalam industri beras langsung,” kata Dr. Muhamad Akmal.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, dia langsung tidak terkejut dengan dapatan yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI.
Dr. Muhamad Akmal berkata, beliau telah membangkitkan isu itu sekian lama dengan gesaan supaya golongan petani diperkasakan untuk memproses dan menjual padi yang ditanam.
“Saya tak terkejut sebab kita sudah cakap benda ini lama bila masuk dalam kilang hari itu. Sebab itu saya memohon kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk melihat semula (isu ini).
“Sudah tiba masanya kita kena memperkasakan pesawah. Biar pesawah ambil padi, proses dan dijadikan beras daripada mereka menjual kepada pengilang dengan harga RM1.50 sekilo atau RM1,500 untuk satu tan.
“Lebih baik mereka proses dan mereka boleh jual terus kepada rakyat dengan harga RM2,600 satu tan. Pesawah dapat jual dengan harga yang lebih tinggi dan pengguna atau rakyat dapat beli harga RM26,” tegasnya.
Beliau berkata, walaupun berterima kasih atas tindakan kerajaan menaikkan harga lantai beras dari RM1,300 kepada RM1,500 satu tan namun ia tidak akan menyelesaikan isu membabitkan beras.
Kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis MARDI disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.
Sampel beras diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya.
Beliau berkata, analisis dibuat bagi mengenal pasti isu kehilangan BPT di pasaran selaras penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada 2023. – MalaysiaGazette