KUALA LUMPUR – Gara-gara cinta ditolak pengawal keselamatan wanita, seorang lelaki bertindak menumbuk, mencekik leher dan mengugut bunuh mangsa dalam kejadian di Bandar Puteri Puchong, Selangor.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang berusia 32 tahun pada jam 1.30 petang, semalam.
“Berdasarkan laporan, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam pada 25 Februari semasa mangsa sedang bekerja di pondok pengawal keselamatan apartment di Bandar Puteri Puchong.
“Kemudian suspek datang meluahkan perasaan cinta tetapi ditolak mangsa kerana dalam proses penceraian, tiba-tiba suspek marah dan bertindak untuk mencederakan mangsa di leher menggunakan pisau lipat namun sempat ditepis mangsa.
“Hari sama sekitar jam 3.30 pagi, suspek datang semula dan menumbuk kepala serta mencekik leher mangsa sebelum dileraikan rakan sekerjanya malah suspek turut mengugut bunuh wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek kini sedang giat dikesan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Bahaya 1958.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 4 minit 29 saat memaparkan seorang pengawal keselamatan perempuan dipukul seorang lelaki di pondok pengawal keselamatan. – MalaysiaGazette