SELEPAS berakhir pemilihan parti Bersatu pada November tahun lalu, jurang perbezaan dalam parti tersebut masih belum reda dan masih berlarutan sehingga jelas kewujudan dua kem yang bersaing untuk menonjolkan diri sebagai calon Perdana Menteri Ke-11.
Dakwaan kewujudan dua kem Bersatu iaitu kumpulan yang menyokong presiden dan satu lagi menyokong timbalan presiden masih berlarutan sehingga ke hari ini walaupun terdapat usaha untuk menyatukan kembali kedua-dua belah pihak malah sudah semakin parah.
Semasa pemilihan lalu, Hilman Idham satu-satunya individu yang dilihat berada dalam kem presiden yang berjaya menang dalam pemilihan jawatan tertinggi parti selepas menewaskan calon yang dikaitkan dengan bekas ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal (WAF).
Barisan pemimpin atasan Bersatu majoritinya dimenangi kem timbalan presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan lebih mengecewakan lagi apabila individu yang dahulunya dikatakan pengikut setia Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan bertukar arah dan kini lebih rapat dengan Ahli Parlimen Larut tersebut.
Dalam kemelut kuasa Bersatu, WAF antara sosok yang menjadi tumpuan kerana suatu masa dahulu dilihat terpaling setia bersama Muhyiddin tetapi kini diatakan sudah menjadi orang kepercayaan Hamzah.
Akar umbi Bersatu menyedari langkah dan percaturan politik WAF untuk melakukan perang saraf bagi mengurangkan kuasa dan pengaruh Muhyiddin dalam parti tersebut.
Sumber dalaman parti pernah mendedahkan bagaimana WAF semasa berkempen dalam pemilihan lalu ada mengeluarkan kritikan terhadap Muhyiddin – malah beberapa pemimpin parti pernah mendedahkannya sebelum ini.
Antara yang dibangkitkan oleh WAF kononnya soal kerelevanan Muhyiddin untuk terus mengemudi parti dan diangkat untuk menjadi calon PM bagi gabungan Perikatan Nasional (PN).
Terdapat asas apabila WAF mempertikaikan Muhyiddin untuk terus mengetuai parti dan Hamzah calon penganti terbaik, lebih-lebih lagi apabila terdapat kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri ke lapan tersebut.
Selain itu, faktor kewangan parti juga menjadi isu berbangkit apabila Hamzah dikatakan lebih banyak mengeluarkan sumber sendiri bagi program dan aktiviti parti sejak akaun parti tersebut dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tidak boleh dinafikan apabila kebanyakan dana datang dari Hamzah dan perkara itu bukan satu lagi rahsia malah semasa program besar parti perkara itu diuar-uarkan kepada akar umbi bagi memburukkan imej pemimpin tertinggi parti.
Malah ada dakwaan sebahagian besar pemimpin atasan dalam Bersatu sudah ‘berkiblatkan’ Hamzah.
Satu-satunya orang harapan Muhyiddin dalam Bersatu adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik sebagai Setiausaha Agung tetapi ia dilihat masih tidak mampu untuk menyekat Hamzah.
Pelantikan Mohamed Azmin pada mula dibuat oleh Muhyiddin dengan harapan dapat mengurangkan kuasa Hamzah dalam parti tetapi sifir politik tidak semudah disangka.
Tidak mustahil selepas ini Mohamed Azmin juga boleh menjadi orang Hamzah dan menukar kemnya.
Mohamed Azmin juga akan membuat perkiraan untung rugi dan memikirkan masa depan politiknya.
Bagi penyokong Hamzah, mereka memainkan sentimen beliau dan Hilman sebagai orang baharu dalam parti kerana kedua-dua mereka sebelum ini berasal dari PKR sebelum menyertai Bersatu.
Jadi tidak menghairankan apabila selepas berakhir pemilihan, Hilman masih bergelut untuk cuba menyatupadukan Armada dan masih terdapat pemimpin yang setia bersama WAF.
Perebutan kuasa dalam Bersatu mengakibatkan akar umbi berada di persimpangan untuk memilih sama ada bersama Muhyiddin atau Hamzah.
Hala tuju dan masa depan parti juga semakin malap dengan ketamakan kuasa yang tidak kesudahan.
Dalam perkembangan lain, kem WAF juga dikatakan tidak berhenti dengan rancangan untuk menjatuhkan Hilman manakala penyokong Hilman melihat WAF sebagai simbol segala yang tidak kena dengan partinya.
Ketiadaan perpaduan dan visi bersama telah meletakkan Bersatu dalam keadaan yang keliru dengan ramai yang mempersoalkan sama ada parti ini mampu bertahan dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketidakupayaan parti ini untuk menyelesaikan perbezaan pendapat menjadikannya terdedah kepada tekanan luaran dan kerosakan dalaman.
Tanpa hala tuju yang jelas atau rasa tujuan yang dikongsi bersama, Bersatu berisiko menjadi tidak relevan dalam landskap politik yang sentiasa berubah.
MUSTAFA ALI