KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan mendesak Datuk Seri Wee Ka Siong dan Wan Ahmad Fayhsal untuk menarik balik tuduhan mereka terhadap kerajaan serta memohon maaf kepada rakyat dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas mendakwa kumpulan caruman pekerja itu berada dalam keadaan kritikal dan bakal memberi dividen rendah.
Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, gesaan itu susulan pengumuman kadar dividen (KWSP) sebanyak 6.3% bagi simpanan konvensional dan simpanan syariah bagi tahun 2024.
Lebih signifikan, buat sekian kalinya, kadar dividen simpanan syariah adalah setanding dengan simpanan konvensional., membuktikan Kerajaan Madani, ekonomi Islam terus dimartabatkan dengan pulangan yang adil dan mampan untuk semua pencarum.
Menurutnya, prestasi itu bukan sahaja membuktikan prestasi cemerlang pengurusan KWSP, malah ia melebihi jangkaan penganalisis pasaran yang menganggarkan kadar sekitar 6.2%.
“Sebelum ini, Wee Ka Siong dan Wan Ahmad Fayhsal cuba menimbulkan panik dalam kalangan rakyat dengan mendakwa KWSP berada dalam keadaan kritikal dan bakal memberikan dividen rendah. Hakikatnya, tuduhan mereka kini terbukti tidak berasas dan berniat jahat semata-mata untuk meraih populariti politik murahan.
“Adakah YB Ayer Hitam dan Machang masih mahu mempertikaikan kejayaan ini? Atau mereka cukup berani untuk mengakui kesilapan dan memohon maaf atas fitnah yang mereka sebarkan?,” soal beliau.
Tambah beliau, rakyat berhak menerima fakta yang benar, bukan manipulasi politik yang hanya mahu mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan.
Tetapi Kerajaan Madani komited memastikan KWSP terus diurus dengan baik, mampan, dan memberikan pulangan terbaik kepada pencarum.
Oleh itu, serunya, rakyat perlu menolak ahli politik yang hanya tahu menabur fitnah tetapi gagal membawa penyelesaian untuk masa depan negara. – MalaysiaGazette