Logo KWSP

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30% bagi simpanan konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; dan 6.30% bagi dimpanan syariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.

KWSP berkata, pengkreditan dividen akan selesai pada Ahad, 2 Mac 2025 dan ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11% berbanding RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023.

Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.

Aset pelaburan KWSP mencapai RM1,249.71 bilion, naik 10% daripada RM1,135.82 bilion pada 2023.

Peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio yang kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion, naik 11% daripada RM97.56 bilion pada 2023.

Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kadar dividen yang lebih tinggi bagi tahun 2024, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, serta pengurusan portfolio
yang berhemah.

“Dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan kami yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan, dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli kami.

“Di peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat, dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi. Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024, serta pelan strategik yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI telah menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan,” tambah beliau.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1% (2023: 3.6%) dengan pasaran saham menunjukkan kekuatan yang ketara. Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak +12.9% (2023: -2.7%) dan memuncak pada 1,678.80 mata pada Ogos, paras tertinggi sejak Disember 2020.

Prestasi global pula bercampur-campur, mencerminkan keadaan ekonomi yang berbeza mengikut rantau. Bank-bank pusat di seluruh dunia mengekalkan kadar faedah yang agak tinggi bagi membendung tekanan inflasi daripada tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun kadar faedah yang lebih tinggi lazimnya menekan penilaian ekuiti, ia juga mencipta peluang
pelaburan dalam pendapatan tetap, memberi kesan bercampur kepada pasaran saham.

Mohd Zuki menekankan bahawa ketidaktentuan pasaran yang dialami pada tahun 2024 menggariskan kepentingan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP dalam mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar.

“SAA memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi portfolio yang stabil, memastikan ketahanan jangka panjang portfolio pelaburan KWSP. Dengan mengimbangi risiko dan pulangan, pendekatan ini bukan sahaja melindungi dana daripada ketidaktentuan pasaran, tetapi juga menyokong pembayaran dividen yang mampan untuk ahli kami,” katanya.

Kelas aset Ekuiti menyumbang RM49.79 bilion selepas turun nilai kos, mewakili 67% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP dengan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 9.90%.

Kenaikan pendapatan melebihi RM39.01 bilion pada 2023 didorong oleh pendekatan strategik dan kecekapan pengurus dana dalam memanfaatkan keuntungan semasa tempoh ketidaktentuan pasaran, serta prestasi kukuh di pasaran ekuiti.

Pada tahun 2024, penurunan nilai kos bagi ekuiti tersenarai adalah RM0.72 bilion.

Pelaburan ekuiti persendirian, yang merangkumi hampir 10% daripada pelaburan ekuiti, mencatatkan ROI sebanyak 11.33%.

Instrumen pendapatan tetap terus menjadi tunjang dalam mengekalkan pulangan stabil
serta mengurangkan kesan turun naik pasaran jangka pendek.

Kelas aset ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia, menyumbang RM21.91 bilion atau 29% daripada
jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi 2024, dengan ROI sebanyak 4.27%.

Pendapatan yang lebih tinggi ini, berbanding RM19.74 bilion pada 2023, sejajar dengan pertumbuhan saiz
aset.

Pelaburan Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.64 bilion, dengan ROI sebanyak 5.13% berdasarkan mata wang tetap.

Pendapatan daripada instrument Pasaran Wang pula berjumlah RM1.12 bilion dengan ROI sebanyak 1.89%.

Memandangkan majoriti pelaburan ini adalah dalam mata wang asing, prestasi keseluruhan kategori aset ini
terjejas oleh kerugian pertukaran mata wang susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS pada 2024.

Instrumen Pendapatan Tetap mewakili 46.2% daripada aset pelaburan, manakala ekuiti 43.5%. hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing mewakili 6.3% dan 4% daripada aset KWSP.

Setakat Disember 2024, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,249.71 bilion, di mana 63% daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.

Pelaburan domestik menjana RM37.02 bilion atau 49.7% daripada jumlah pendapatan pelaburan, memberikan kestabilan kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP.

Aset global pula menjana pendapatan sebanyak RM37.44 bilion atau 50.3% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Daripada RM74.46 bilion jumlah pendapatan pelaburan keseluruhan, RM63.59 bilion dijana
untuk Simpanan Konvensional, manakala RM10.87 bilion adalah untuk simpanan syariah.

Bermula Januari 2024, KWSP telah memisahkan sepenuhnya portfolio simpanan konvensional dan simpanan syariah membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik
tersendiri.

Pemisahan ini juga meningkatkan kepelbagaian, memastikan aset di bawah simpanan syariah dan simpanan konvensional diagihkan dengan baik merentasi kelas aset, geografi, pasaran, dan industri bagi menjamin pulangan yang mampan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here