Panglima Tentera Darat, General Tan Sri Hafiezuddeian Jantan (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas selesai majlis Sambutan Hari Tentera Darat Ke-92 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 01 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Pembelian uniform untuk kegunaan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak menggunakan peruntukan Tentera Darat Malaysia (TDM), tegas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Beliau berkata, dakwaan oleh pihak-pihak tertentu berkenaan kekurangan pakaian tentera adalah satu persepsi yang salah serta tidak memahami situasi sebenar.

“Saya rasa ini adalah cuma dakwaan rambang sesetengah pihak yang cuba menimbulkan spekulasi dalam hal-hal begini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat ke-92 Tahun 2025 di Dataran Panglima Tentera Darat Kem, Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran sebelum ini dilaporkan berkata, pembelian uniform PLKN ditanggung sendiri Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Terdahulu, seramai 116 pelatih tamat menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025 pada 25 Februari lalu selepas menyertai latihan itu sejak 12 Januari lalu.

Mengulasn lanjut Muhammad Hafizuddeain berkata, berdasarkan kontrak sedia ada, jumlah pakaian yang perlu disediakan untuk anggota tentera adalah mencukupi.

Bagimanapun kata beliau, jika terdapat keperluan tambahan, seperti untuk membantu pelaksanaan PLKN, proses perolehan tambahan boleh dilakukan melalui sebut harga dari semasa ke semasa.

“Kontrak baju loreng ini memang wujud walau bagaimanapun kontrak tersebut akan tamat dijangka pada Julai 2025.

“Tiada dakwaan yang mengatakan pakaian anggota tentera tidak cukup. Bersama saya ada Panglima Pemerintahan Medan dan kami sentiasa melakukan semakan untuk memastikan kebajikan anggota tentera terjamin,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast