Empat peminat kenderaan klasik Volkswagen (VW) kini sedang mencipta sejarah dengan perjalanan darat sejauh 25,000 kilometer ke Jerman.

KUALA LUMPUR – Empat sahabat yang berkongsi minat mendalam terhadap kenderaan klasik Volkswagen (VW) kini sedang mencipta sejarah dengan perjalanan darat sejauh 25,000 kilometer ke Jerman menaiki dua VW Kombi klasik.

Dengan semangat membara, konvoi  yang dianjurkan oleh Andy’s Volkswagen Owners Club (AVOC) bukan sekadar perjalanan biasa sebaliknya adalah inspirasi minat mendalam terhadap warisan automotif lama yang masih gah.

Destinasi utama mereka adalah Wolfsburg, Jerman, kota kelahiran VW di mana mereka akan menyertai perhimpunan berprestij Wolfsburg Classic VW Owners Gathering.

Empat individu di sebalik pengembaraan luar biasa ini ialah Andy Thanabalan, Datuk Geethan Ram Vincent, Lavarn Senthiraja dan Praven Subash yang akan memandu dua kenderaan ikonik VW Kombi 1978 dan VW Kombi Double Cab 1981 menjelajahi pelbagai negara dan benua untuk tempoh tiga bulan akan datang.

Menurut Andy, pengasas dan Presiden AVOC, perjalanan itu bukan sekadar pengembaraan peribadi tetapi satu penghormatan kepada sejarah VW itu sendiri.

Pengasas dan Presiden AVOC, Andy Thanabalan.

“Jerman adalah destinasi utama kerana di situlah Combi ini dicipta. Kami mahu membawa mereka ‘pulang’ ke tempat asal sambil membuktikan bahawa minat dan ketekunan mampu membawa kami merentas benua,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui baru-baru ini.

Kata Andy, lebih daripada sekadar perjalanan jauh, mereka mahu mencipta sejarah untuk komuniti peminat VW Malaysia dan membuktikan semangat tidak mengenal batasan.

“Kami mahu dunia melihat betapa dalamnya minat Malaysia terhadap Volkswagen klasik sambil memberi inspirasi kepada peminat lain untuk berani bermimpi besar,” jelasnya.

Konvoi ini akan merentasi 16 negara, bermula dari Malaysia ke Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Rusia, Georgia, Turki, Bulgaria, Romania, Hungary, Austria, Jerman, Belgium, Belanda, dan Switzerland.

Dengan kos bahan api dianggarkan mencecah RM17,000 setiap kenderaan, pasukan ini telah bersiap sedia dengan alat ganti secukupnya dan salah seorang daripada mereka mahir membaiki kenderaan sekiranya berlaku sebarang masalah teknikal.

Andy Thanabal, Datuk Geethan Ram Vincent, Lavarn Senthiraja, dan Praven Subash, yang akan memandu dua kenderaan ikonik VW Kombi 1978 dan VW Kombi Double Cab 1981

Bukan itu sahaja, mereka juga akan menghadiri beberapa acara VW di Jerman dan Belgium serta perhimpunan pemilik VW di Eropah, sekali gus memperkukuhkan hubungan komuniti peminat Volkswagen peringkat antarabangsa.

Mereka berlepas untuk pengembaraan ini pada Khamis lalu dan ketika artikel ini ditulis, mereka sudah pun berada di Thailand.

Menariknya, sebaik tiba di Jerman, mereka tidak akan membawa pulang VW Kombi ini ke Malaysia tetapi kenderaan antik itu akan ditinggalkan di Jerman untuk seketika.

Kata Andy, kemungkinan besar dirinya bersama rakan-rakan ini akan kembali ke Eropah tahun depan untuk meneruskan eksplorasi ke negara lain dalam senarai kami,” kata Andy.

Sebaik sahaja perjalanan Eropah mereka selesai dalam tempoh tiga tahun, kedua-dua VW Kombi ini akan dihantar pulang dari UK atau Belanda melalui laluan laut.

Dengan setiap kilometer yang dilalui, kisah mereka bukan sahaja menjadi inspirasi buat pencinta VW di Malaysia tetapi juga bukti bahawa impian boleh menjadi kenyataan dengan tekad yang kuat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here