KUALA LUMPUR – First Grade Resources Sdn. Bhd. (First Grade) membuat pelaburan sehingga RM25 juta untuk membangunkan kilang terbaharunya di Jalan Junjung, Kulim, Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukhlis Zulkifli berkata, jumlah itu meliputi kilang pengeluaran berasaskan pengilang peralatan asal (OEM) untuk produk minuman dan kosmetik dengan kawasan seluas 1.2 hektar itu.
Kata beliau, ia dijangka akan dapat menampung keperluan jumlah permintaan yang tinggi daripada para pelanggannya dari masa ke semasa.
“Bagi penghasilan produk di kilang lama, syarikat hanya dapat menghasilkan sebanyak 100,000 unit produk dalam masa sebulan disebabkan kekurangan mesin serta tempat penyimpanan.
“Namun dengan adanya peralatan dan teknologi baharu di kilang baharu ini, proses pembuatannya semakin cepat dan melibatkan sejumlah kuantiti yang besar.
“Sebagai contoh, sekiranya sebelum ini syarikat hanya menghasilkan 20,000 unit produk seminggu, kini angka tersebut meningkat kepada 50,000 unit seminggu,” katanya Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Baharu First Grade Resources Sdn. Bhd. baru-baru ini,
Majlis disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan diiringi Pengarah Urusan First Grade, Zulkifli Yusop.

Mukhlis menjelaskan, pemindahan ke kilang baharu itu turut memberi ruang kepada syarikat untuk beralih kepada sistem automasi penuh dan membolehkan penggunaan mesin-mesin moden yang memerlukan lebih banyak ruang.
“Setiap produk melalui beberapa fasa kawalan kualiti sebelum dipasarkan bagi menjamin mutu yang terbaik.
“Pematuhan kepada Standard dan Pensijilan-Produk yang dihasilkan di syarikat kami telah mendapat pengiktirafan pensijilan termasuk KKM (Kementerian Kesihatan), halal, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),” katanya.
Menurutnya, melalui kilang baharu ini, pihaknya menyasarkan jualan sehingga RM100 juta berbanding 20,000 unit bagi setiap produk dalam masa seminggu.
Selain itu, syarikat juga turut memperkenalkan galeri eksklusif yang mempamerkan sampel produk hasil inovasi pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat kepada pelanggan. – MalaysiaGazette