Gambar hiasan

ALOR SETAR – Lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang ditahan selepas dipercayai membunuh ibunya di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Tahanan reman terhadap suspek berusia 43 tahun sehingga 9 Mac itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Permohonan reman itu dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media terdahulu melaporkan wanita warga emas ditemui maut dengan kesan terbakar dipercayai dibunuh anak lelakinya yang mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian amuk anak mangsa pada 7.48 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Berlaku pertengkaran antara suspek berusia 43 tahun dan mangsa 68 tahun dengan disaksikan anak suspek berusia 14 tahun yang turut berada dalam rumah sama.

“Berdasarkan keterangannya, kejadian berlaku antara 7 hingga 7.30 pagi. Dia terdengar pertengkaran antara ayahnya (suspek) dengan si mati iaitu nenek kepada saksi sebelum mendengar jeritan neneknya meminta tolong.

“Susulan itu, jiran menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum suspek ditahan manakala mangsa ditemui maut dalam keadaan terbakar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast