KUALA LUMPUR – Penggunaan inhaler ketika waktu siang Ramadan boleh membatalkan puasa jika tidak mencapai tahap darurat atau hanya melibatkan serangan asma yang ringan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, ia selari dengan pandangan dalam buku Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Menurut pejabat tersebut, buku panduan berkenaan menyenaraikan inhaler bagi rawatan penyakit lelah atau penyakit paru-paru kronik sebagai alat yang membatalkan puasa.
Namun demikian, ulama mutakhirin Mazhab Syafi’i pula berpendapat, jika dalam keadaan darurat seperti serangan asma yang berat atau kronik maka pengambilan inhaler tidak membatalkan puasa.
“Namun untuk langkah lebih berhati-hati individu tersebut boleh mengeluarkan fidyah untuk hari-hari yang mana inhaler digunakan,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Hukum penggunaan inhaler ketika berpuasa itu dinyatakan dalam Irsyad Hukum Siri Ke-888.
Kenyataan tersebut turut menjelaskan, penggunaan inhaler pada siang Ramadan merupakan isu kontemporari yang menjadi perselisihan pandangan dalam kalangan ulama moden.
Sebahagiannya mengatakan ia membatalkan puasa manakala sebahagian lagi berpandangan sebaliknya.
Jelas kenyataan itu, pandangan pertama (membatalkan puasa) dipilih oleh Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami, Dr. Muhammad Alfai, Syeikh Uthman Syubair, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli dan Muhammad Ali al-Bar.
“Di samping itu, terdapat beberapa badan fatwa yang juga bersetuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan inhaler adalah membatalkan puasa sebagaimana yang diputuskan oleh Badan Fatwa Jordan (Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah).
“Sementara itu, Badan Fatwa Kuwait juga berpandangan bahawa penggunaan inhaler pada siang Ramadan hanya dibenarkan bagi orang yang memerlukan dan tidak ada ubat lain,” katanya.
Kenyataan itu juga menjelaskan, tokoh-tokoh ulama seperti Syeikh Ibn Baz, Syeikh Ibn Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin, Syeikh Muhammad Abu Zahrah bagaimanapun berpandangan penggunaannya tidak membatalkan puasa.
Ujar kenyataan itu, pandangan yang telah dipilih oleh badan-badan yang berautoriti seperti Badan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah) menyatakan, inhaler tidak menyebabkan puasa terbatal.
Ini kerana, udara yang disedut itu merupakan udara yang diperlukan oleh manusia untuk bernafas ketika datangnya sakit, meskipun ia bercampur dengan ubat, ia tetap tidak memudaratkan puasanya.
Dalam pada itu, mazhab Syafi’i berpandangan, inhaler memiliki kandungan jirim yang boleh membatalkan puasa. – MalaysiaGazette