KUANTAN – Membesar dan menyara empat orang anak secara sendirian dengan pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan bukan mudah buat Siti Nadia Shaikh Ali.
Dengan kos hidup yang semakin mencabar dan memenuhi keperluan anak yang semakin membesar sudah tentu pendapatan sebanyak itu tidak mencukupi buat ibu tunggal berusia 39 tahun ini.
Lantaran itu, selain bekerja di sebuah kedai menjual perabot, Siti Nadia turut mengambil upah membasuh ayam secara sambilan bersama anak-anaknya di rumah mereka di Chengal Lempong, di sini.
“Saya buat kerja sambilan lain, terpaksalah kerana mahu anak-anak hidup dengan selesa supaya mereka boleh berjaya dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di sini.
Siti Nadia memberitahu, rumah kecil yang didiami mereka sejak lima tahun itu merupakan hasil binaan mereka anak beranak di atas tanah pusaka ibunya.
“Alhamdulillah masa kerajaan umum boleh keluarkan duit simpanan KWSP ketika pandemik Covid-19 dulu, saya simpan sikit-sikit. Dapatlah RM30,000 untuk bina rumah ini,” katanya.
Dia juga amat bersyukur kerana layak menerima bantuan zakat sebanyak RM200 bagi keperluan barang dapur dan RM300 untuk bil air dan elektrik.
Bagaimanapun, dia kini bimbang kerana rumah satu bilik itu tidak lagi memadai untuk mereka kerana anak perempuan tunggalnya yang sudah berusia 14 tahun terpaksa tidur di bilik bersama-sama dia dan tiga anak lelaki lain.
Katanya, anak sulung lelakinya baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia, manakala dua lagi berusia 12 tahun dan 11 tahun.
Berikutan kebimbangannya, Siti Nadia menghantar anak itu ke asrama sekolah asnaf di bawah Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP).
“Saya bimbang sebab anak perempuan saya tu dah besar. Kadang-kadang kalau saya bekerja lebih masa, saya risau keadaan mereka di rumah. Sebab tu, saya hantar anak perempuan saya tu ke asrama sekolah asnaf di bawah MUIP,” katanya yang mengakui sedih kerana terpaksa berpisah dengan anak perempuannya.
Menurutnya, puteri tunggalnya pada awalnya enggan berpisah dengannya tetapi keadaan rumah itu tidak sesuai.
“Sedihlah terpaksa berpisah dengan dia. Anak tu memang tak nak berpisah. Tapi, lebih baik mencegah daripada berlaku perkara tidak diingini.
Siti Nadia berkata, dia telah memohon kepada pihak-pihak berwajib untuk menambah sebuah bilik bagi keselesaan anak perempuannya itu.
“Alhamdulillah, baru-baru ini saya dapat maklumat daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bahawa permohonan ini telah dapat perhatian Perdana Menteri sebab sini adalah Kampung Angkat Madani,” katanya menahan sebak.
Selain isu bilik, Siti Nadia juga meluahkan kebimbangannya kerana berlaku mendapan tanah di tapak rumahnya berikutan musim hujan baru-baru ini yang menyebabkan terdapat rekahan besar pada dinding rumah.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada wanita tabah ini, bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan ke akaun BSN – Siti Nadia Shaikh Ali (0611441000102191). – MalaysiaGazette