KUALA LUMPUR – Sekiranya ingin melancong ke China, pasti terlintas ingin ke Beijing yang terkenal dengan keindahan sejarah seperti Tembok Besar China.
Apatah lagi tembok sepanjang 740 kilometer itu pernah disenaraikan sebagai Tujuh Keajaiban Dunia selepas dibina di antara abad ke-11 dan 13 dan mempunyai 72 struktur dan menara kecil.
Namun apa kata kali ini jika merancang ke China, anda bertukar wilayah pula ke Kunming yang merupakan ibu negeri dan bandar terbesar di wilayah Yunnan yang juga dikenali sebagai Bandar Musim Bunga Abadi.
Antara tarikannya termasuk Hutan Batu yang terkenal dengan keindahan semula jadi seperti air terjun, tasik dan gua yang indah, serta Tanah Merah Dongchuan yang unik.

Kunming bukan sahaja merupakan pintu masuk ke alam semulajadi yang menakjubkan malah menawarkan kepelbagaian budaya menjadikannya destinasi menarik untuk para pengembara yang mencari ketenangan.
Selesai menerokai Kunming, anda boleh memiih untuk Lijiang yang menjanjikan penggembaraan yang penuh mengujakan. Apa tidaknya, untuk sampai ke sana, penulis mengambil kereta api malam dengan tempoh perjalanan selama sembilan jam.
Namun pengalaman yang dilalui tidak membosankan kerana penumpang boleh melepak di kafe di satu gerabak yang disediakan sambil menikmati pemandangan luar di waktu malam.
Sampai sahaja di Lijiang, cuaca sejuk menyambut kehadiran kami sebelum bergerak ke Jade Dragon Snow Mountain yang juga dikenali sebagai Yulong Snow Mountain bagi masyarakat tempatan.

Sampai di perkarangan kaki gunung, pengunjung boleh memilih tiga tempat tontonan pemandangan menggunakan tiga kereta kabel berlainan iaitu Glacier Park dengan ketinggian 4,680 meter, Yak Meadow (3700 meter) dan Spruce Meadow dengan ketinggian 240 meter).
Puas menikmati menikmati pemandangan gunung salji, pengunjung kebiasannya akan menuju ke Blue Moon Valley. Apa yang menarik, pemandangan lembah itu memang mempesonakan kerana air tasik kristal yang jernih hasil dari puncak bersalji.
Seterusnya keesokan hari, tempat yang menjadi tumpuan sudah ke Tiger Leaping Gorge iaitu salah satu gaung yang paling dalam dan menakjubkan di dunia.
Ia terletak kira-kira 60 kilometer di utara bandar Lijiang dan 80 kilometer di selatan Shangri-La.
Untuk sampai ke sini bagi yang bagi memilih laluan mencabar, anda akan sampai di Hiking Coffee & Bar selepas dua jam mendaki sebelum berhenti rehat menikmati kopi panas sambil menikmati pemandangan gunung ganang yang cukup menakjubkan.

Pemandangan gunung sepanjang laluan di Tiger Leaping Gorge. Selepas itu, pendakian di sambung selama sekitar dua jam lagi untuk sampai di Half Guesthouse untuk bermalam di situ.
Pagi esoknya, pengembaraan di sambung dengan mendaki dan menuruni gaung ditemani cuaca sejuk dan berangin.
Gaung terbentuk oleh Sungai Jinsha iaitu antara anak sungai utama Sungai Yangtze, yang mengalir di antara dua gunung besar iaitu Gunung Haba dan Gunung Jade Dragon.
Dengan kedalaman kira-kira 3,790 meter bersamaan 12,434 kaki dari puncak gunung ke sungai, Tiger Leaping Gorge merupakan destinasi popular bagi para pendaki dan pengembara yang mencari pemandangan alam yang luar biasa dan cabaran mendebarkan.
Akhirnya pendakian berakhir selepas melalui sejauh 11 kilometer di mana dapat melihat batu dikenali sebagai Tiger Leaping Gorge di depan mata dan menjadi salah satu tarikan utama di gaung ini.

Nama Tiger Leaping Gorge berasal dari legenda tempatan yang menceritakan tentang seekor harimau yang melompat merentasi gaung ini untuk melarikan diri daripada pemburu.
Harimau tersebut dikatakan melompat dari satu tebing ke tebing yang lain menggunakan batu besar yang terletak di tengah-tengah sungai sebagai tempat berpijak.
Apa pun, Tiger Leaping Gorge diakui terkenal dengan pemandangan alam yang menakjubkan termasuk air terjun, tebing curam dan hutan hijau.
Kawasan itu juga merupakan habitat bagi pelbagai jenis flora dan fauna, menjadikannya destinasi yang menarik bagi pencinta alam dan pendaki. Malah sepanjang lalu, anda akan bertemu kampung kecil dan masyarakat tempatan yang menjual buah dan minuman panas.

Sementara itu, untuk terbang ke Kunming, AirAsia kini memperluas rangkaiannya di China dengan melancarkan laluan baharu dari hab kedua terbesarnya di Malaysia, Kota Kinabalu ke Kunming.
Bermula 25 September tahun lalu, syarikat penerbangan tambang murah itu mengendalikan tiga penerbangan mingguan dari Kota Kinabalu ke Kunming selepas satu penerbangan dari KLIA2.
Dengan penambahan laluan ke Kunming, AirAsia kini terbang ke 10 laluan dengan 69 penerbangan mingguan dari Kota Kinabalu ke destinasi di China bermula bulan September lau.
Baru-baru ini, AirAsia diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia 2025 oleh AirlineRatings.com yang turut mengukuhkan kepimpinannya dalam pengembaraan perjalanan udara dipacu nilai yang terus meningkatkan standard industri.
AirlineRatings.com berkata, sejak permulaan sederhana pada 2001 dengan hanya dua pesawat laluan domestik di Malaysia, AirAsia merevolusikan perjalanan kos rendah dengan menerbangkan lebih 800 juta penumpang dan menghubungkan lebih 130 destinasi. – MalaysiaGazette
