KUALA LUMPUR – Syarikat peneraju teknologi antarabangsa, Siemens Malaysia melancarkan Akademi Latihan Industri Digital Siemens menerusi kerjasama strategik dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan SG TVET Group.
Ketua Pegawai Eksekutif SG TVET Group, Datuk Sri Ganes Palaniapan berkata, penubuhan akademi itu penting dalam memperkasa tenaga kerja serta membangunkan ekosistem pendigitalisasian melalui program latihan bertaraf antarabangsa yang selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).
Menurut beliau, ia turut mencerminkan komitmen Siemens Malaysia dalam melahirkan modal insan tempatan yang memiliki kemahiran relevan bagi memenuhi keperluan pasaran kerja dalam era industri moden yang berkembang pesat.
“Program ini memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET dengan menyediakan kelayakan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf secara global, menjadikan mereka lebih kompetitif dalam pasaran kerja, sama ada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Dengan pelancaran Akademi Siemens ini, Malaysia kini berada di landasan lebih kukuh dalam melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga berdaya saing di peringkat global.
Majlis yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) antara SG TVET Group dan JTM bagi menjalin kerjasama strategik dalam pelaksanaan program latihan berasaskan TVET.
Menurutnya, dengan kelayakan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf industri, graduan dijangka lebih berdaya saing dan mendapat pengiktirafan yang lebih luas.
Menurut Sri Ganes, MOA tersebut merangkumi pelaksanaan program latihan TVET yang melibatkan sumbangan peralatan dan modul latihan bernilai RM500,000.
Selain itu, ia juga mengandungi model perkongsian hasil antara SG TVET Group dan JTM, memastikan kelangsungan serta manfaat latihan TVET untuk jangka panjang.
Majlis menandatangani perjanjian itu kata beliau, menjadi titik permulaan penting dalam memperkukuh kerjasama bagi pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Tindaro Danze memberitahu, ia adalah langkah penting dalam membangunkan kumpulan bakat yang berkemahiran tinggi dan pada masa sama membantu meningkatkan produktiviti serta daya saing industri Malaysia di pentas global.
“Ini adalah satu inisiatif untuk membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan kepakaran terkini dalam automasi industri dan pendigitalan,” ujarnya.
Pada 20 Februari lalu, Siemens Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi melatih 10,000 tenaga kerja industri dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz. – MalaysiaGazette