KOTA KINABALU – Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi inisiatif baharu
universiti dalam memperkukuhkan keupayaan kepimpinan dan melahirkan pemimpin masa hadapan untuk negeri Sabah.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program tersebut dibangunkan oleh Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKePT) dengan kerjasama dari Pusat Pembelajaran Fleksibel UMS (UMSFLEC) serta tenaga pakar UMS dalam bidang kepimpinan dan governan.
“Program buat julung kalinya diadakan ini dirangka secara eksklusif, mengambil kira kepentingannya dalam senario lanskap kepimpinan masa kini yang semakin
mencabar, keperluan menangani krisis dan konflik dalam persekitaran multi-budaya.
“Ini ditambah pula dengan tekanan globalisasi, perkembangan teknologi, serta tuntutan keterbukaan dan akauntabiliti dalam memainkan peranan sebagai pemimpin
berwibawa.
“Modul-modul yang diperkenalkan dalam program ini berupaya membantu pemimpin organisasi, persatuan politik, perniagaan dan eksekutif dalam memperkasakan kemahiran kepimpinan mereka,” katanya ketika sesi taklimat bersempena pelancaran Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif UMS Tahun 2025 di sini.
Program itu menyasarkan penyertaan antaranya dalam kalangan eksekutif tinggi, pengurusan kanan organisasi, pemimpin persatuan, usahawan atau
pemilik perniagaan, mahupun pengurus berprestasi tinggi.
Ia dijangka dijalankan secara intensif selama 12 hari dengan enam modul dan jumlah jam pengajaran sebanyak 84 jam, bermula dari 14 April hingga 26 April 2025.
Menurut Kasim, program itu juga adalah hasil cetusan buah fikiran daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang
mahu melihat pemerkasaan kepimpinan dan governan berlaku dalam lanskap politik di Sabah.
“Dalam konteks kepimpinan di Sabah, program ini bakal memainkan peranan yang amat signifikan mengambil kira keunikan Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya
dengan kepelbagaian budaya dan sumber ekonomi yang strategik ke arah pembangunan yang mampan. Keperluan ini hanya dapat digarap oleh pemimpin yang inovatif, inklusif, berdaya saing dan berpandangan jauh.
“Untuk itu, saya yakin melalui program ini para pemimpin di Sabah akan dapat meluaskan pemahaman terhadap aspek governan, membangunkan kapasiti kepimpinan baharu yang mampu menangani cabaran-cabaran unik khususnya di Sabah, dan mengaplikasikan amalan terbaik dalam kepimpinan dan governan yang sejajar dengan kehendak semasa,” katanya.- MalaysiaGazette