KUALA LUMPUR – Bazar Ramadan terus menjadi lokasi utama rakyat Malaysia untuk membeli juadah berbuka puasa dan dalam masa yang sama menikmati pengalaman unik yang hanya muncul setahun sekali.
Walaupun terdapat kenaikan harga makanan akibat kos bahan mentah yang semakin meningkat, pengunjung tetap menganggap bazar sebagai tempat yang berbaloi untuk dikunjungi.
Menurut Muhammad Zamzam Hamdan, 29, harga makanan yang semakin tinggi tidak sepatutnya hanya dipersalahkan kepada peniaga semata-mata kerana mereka juga terpaksa menanggung peningkatan kos bahan mentah dan sewa tapak.

Katanya, kenaikan harga makanan sememangnya tidak dapat dielakkan, namun ia masih dalam julat yang berpatutan.
“Kita tak boleh salahkan peniaga 100 peratus. Kos sewa tapak, harga bahan mentah pun naik. Tapi saya rasa harga dekat bazar ini masih boleh diterima dan kita pun kena sokong peniaga juga.
“Jika nak ikutkan (keadaan) sekarang, kalau dengan harga sebegini, saya boleh cakap harga bazar ramadan masih lagi berpatutan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam.

Bagi Muhammad Zamzam, bazar tetap menjadi pilihan kerana selain memudahkan persiapan berbuka, ia juga menawarkan lebih banyak pilihan berbanding memasak di rumah, terutama bagi mereka yang tinggal bersendirian atau dalam keluarga kecil.
Selain itu, seorang pengunjung lain, Qaiffy Adam, 19, dari Rawang pula mengakui bahawa meskipun harga makanan meningkat, juadah di bazar masih berbaloi kerana kualitinya yang baik serta pelbagai pilihan yang tersedia.

Jelasnya, bazar Ramadan tetap menjadi pilihan kerana ia memberi peluang untuk mencuba pelbagai jenis makanan, termasuk makanan yang jarang ditemui di tempat lain.
“Saya beli Kunafa, Popiah, Big Mac dengan Bebola Daging. Semuanya dalam RM40 macam tu. Tapi saya rasa harga masih okay, masih boleh beli lagi.
“Macam Kunafa ni lah, saya cuba sebab dah lama nak rasa. Tahun lepas sekali je sempat beli, ni baru kali kedua dapat rasa,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Sarah Ieesya, 19, pelajar Management and Science University (MSU), turut merasakan bahawa bazar Ramadan menawarkan pengalaman membeli makanan yang lebih menarik berbanding di kolej atau restoran biasa.

“Bazar seronok sebab Ramadan kan, banyak makanan. Semua benda ada, semua benda yang kita nak,” katanya yang membeli nasi kukus dan kuih onde-onde dengan harga sekitar RM11.
Bagi Asfani Hamidi, 19, atau lebih mesra dipanggil Hani, bazar lebih istimewa kerana hanya muncul setahun sekali dan menjadi peluang untuk menikmati pelbagai makanan tradisional dan moden dalam satu tempat.

“Bagi saya, bulan puasa ni, bazar ada banyak keistimewaan sebab kita boleh cari makanan yang jarang dijumpai pada hari biasa.
“Kadang-kadang ada makanan tradisional yang susah nak dapat, tapi bila bazar ada, kita boleh rasa.
“Hari ni saya beli karipap daging, roti john, dan air kopi dengan perbelanjaan sekitar RM20,” katanya . – MalaysiaGazette