Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony tiba untuk mendengar keputusan rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 04 MAC 2025

PUTRAJAYA – Walaupun tiada bukti langsung menunjukkan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang menaip tajuk surat namun jelas hanya beliau yang mempunyai akses dan kepentingan dalam pemalsuan surat itu.

Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang dengan dua lagi hakim pada hari ini berkata, mereka berpandangan bahawa tiada keperluan untuk lembaran pertuduhan ditandatangani dan bahawa ketiadaan tandatangan itu hanya keabnormalan kecil seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 422 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

“Berkenaan isu kelulusan, kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa Seksyen 129 KTJ tidak memerlukan kelulusan bagi kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

“Kes terhadap perayu hanya memerlukan keizinan Pendakwa Raya seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 58 Akta SPRM 2009,” katanya.

Selain Ahmad Zaidi, dua panel hakim yang bersidang ialah  Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini mengekalkan hukumam penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap Peter menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim itu.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd dituduh memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Panel tiga hakim itu turut menolak hujah pembelaan bahawa saksi utama pendakwaan, termasuk Timbalan Naib Canselor UMS, Profesor S. Abd Kadir tidak boleh dipercayai.

“Mahkamah mendapati bahawa surat P2 (Timbalan Naib Canselor UMS) memberikan kelebihan kepada perayu kerana ia menyokong syarikatnya untuk mendapatkan kontrak Fasa 2B M&E.

“Mahkamah menerima keterangan SP3 (Mohd Shukor Mohd Din), SP8 (Profesor S. Abd Kadir) dan SP9 (Datuk Abdullah Mohd Said) bahawa mereka hanya berminat dalam projek Smart Partnership dan tidak mengetahui bahawa surat P2 digunakan untuk kontrak M&E,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zaidi, ahkamah juga menolak pembelaan perayu bahawa beliau tidak berada di pejabat Datuk Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu) pada 13 Jun 2014, berdasarkan bukti yang menunjukkan kehadirannya di sana.

Tambah beliau, mahkamah memutuskan bahawa unsur kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan telah dibuktikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here