KOTA TINGGI – Pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi yang meninggal dunia dalam kemalangan dua maut di Kilometer 10.3 Jalan Kota Tinggi-Kluang pagi tadi merupakan anak harapan dalam keluarganya.
Menurut ibunya, Nor Hasmidah Hassim, 50, Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, Allahyarham merupakan seorang yang rajin membantu keluarga terutama bapanya yang berniaga bazar Ramadan menjual kosmetik dan minyak wangi.
Katanya, malam tadi arwah sempat membantu bapanya menyiapkan tapak untuk berniaga di bazar Ramadan di Kluang sebelum pulang kira-kira pukul 1 pagi.
“Selepas balik ayahnya sempat masak untuk mereka makan sahur bersama-sama. Pukul 5 pagi tadi bila kejut sahur dia tak mahu bangun sebab sudah makan bersama-sama ayahnya.
“Biasa sebelum saya ke sekolah untuk mengajar saya memang akan kejut dan dia akan bangun sendiri. Anak beritahu arwah gerak ke sekolah kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Dia adalah anak harapan, dia tolong suami akak berniaga angkat barang semua dia sangat rajin. Dia ada adik tapi tak minat niaga jadi bila bab niaga semua dia yang bantu.
“Ayahnya berniaga bazar di Kota Tinggi, Kulai dan Kluang tahun ini. Malam tadi mereka set up tapak di bazar Kluang sebab belum siap. Ayahnya sudah berumur jadi tak larat angkat berat, dialah harapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi tadi, Nurasyraf Afif menaiki kereta Perodua Kancil terlibat kemalangan dengan kereta Nissan Almera dinaiki pasangan warga emas, Zainab Abdullah, 68, dan suaminya, Abas mohtar, 71.
Kemalangan tersebut mengorbankan Nurasyraf Afif dan Zainab manakala Abas cedera parah serta kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Bercerita lanjut, Nor Hasmidah yang juga guru matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara berkata, sebelum kejadian arwah tidak ada menunjukkan sebarang perubahan.
Anaknya itu ujar Nor Hasmidah yang kini dalam semester terakhir, sebelum ini memang berulang alik ke kolej menaiki motosikal sebelum menggunakan kereta milik datuknya.
“Dulu dia berulang naik motosikal tapi kita kasihan dekat dia hujan panas, kita pun risau bila dia naik motor. Lepas itu dia pakai kereta datuknya.
“Dia sebelum ini memang suka naik motor dengan kawan dia sampai Terengganu, setiap kali dia bawa motosikal selalu pesan padanya sebab risau. Tak sangka dia meninggal dengan menaiki kereta. Bagaimanapun saya reda dengan pemergiannya,” katanya.
Tambahnya, jenazah anak keempat daripada lima beradik itu akan dibawa pulang ke rumah datuknya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Semenchu.- MalaysiaGazette
















