KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Planworth Global Factoring, satu langkah strategik yang akan memberi manfaat kepada lebih 60,000 ahli PKMM dan kontraktor lain di seluruh negara.
Menurut Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, kerjasama itu memainkan peranan penting menyelesaikan cabaran modal pusingan yang dihadapi oleh kontraktor khususnya yang kecil dan sederhana.
“Dengan adanya kerjasama ini, ahli PKMM akan mendapat akses kepada pembiayaan yang lebih cepat dan fleksibel, membolehkan mereka terus berkembang dalam industri,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu majlis menandatangani MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy yang diadakan minggu lalu di ibu pejabat Planworth.
Tambah Mohd Rosdi, PKMM telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap beberapa syarikat pemfaktoran sebelum memilih Planworth kerana keupayaannya dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang cekap dan menyeluruh.
“Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Planworth bukan sahaja membantu ahli PKMM malah semua kontraktor lain yang memerlukan modal kerja. Oleh itu, saya menyeru kepada kontraktor di seluruh negara untuk memanfaatkan kemudahan pembiayaan yang ditawarkan.
Sementara itu, Andy pula menjelaskan sebagai alternatif kepada pinjaman konvensional, Planworth menyediakan pembiayaan melalui pembiayaan invois (invoice financing) membolehkan kontraktor menerima sehingga 80 peratus daripada nilai invois tanpa sebarang cagaran.
“Jika jumlah tersebut tidak mencukupi, kami juga menawarkan pembiayaan pesanan belian (PO) untuk membayar pembekal secara langsung serta kemudahan modal kerja atau term loan.
“Selain itu, Planworth turut mengeluarkan surat sokongan kewangan bagi membantu kontraktor mengukuhkan kredibiliti mereka ketika membida tender. Surat ini sangat popular dalam kalangan kontraktor dan peniaga dalam industries lain kerana dapat meningkatkan kepercayaan pihak berkepentingan,” katanya.
“Proses kelulusan dan perolehan dana secara purata hanya mengambil masa seminggu selepas dokumen lengkap diterima. Demi menyokong industri pembinaan dan pertumbuhan ekonomi negara, Planworth terbuka untuk membiayai kontraktor dari semua kategori, iaitu G1 hingga G7,” jelasnya. – MalaysiaGazette