SEPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan terdapat aduan daripada pengguna berlaku kenaikan harga makanan sebanyak 20 peratus daripada perniaga.
Timbalan menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan perkara tersebut.
“Setakat yang ini, kita tak ada aduan (kenaikan harga makanan) yang berkenaan itu. Kita tak terima aduan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah Madani di Kota Warisan hari ini.
Fuziah berkata demikian mengulas pertanyaan MalaysiaGazette mengenai laporan media terdapat peniaga makanan sekitar Kuala Terengganu yang menaikkan harga jualan antara 10 hingga 20 peratus berikutan kenaikan kos bahan mentah termasuk santan.
Laporan berkenaan berkata, peniaga terpaksa menaikkan harga makanan selepas harga santan di negeri itu naik berganda daripada RM9 kepada RM19 sekilogram sejak Oktober tahun lalu.
Tambah Fuziah lagi, KPDN telah menggiatkan proses pemantauan secara rapi disebabkan oleh terdapat aduan mengenai kenaikan harga bahan mentah antaranya santan di pasaran.
“Jadi kita pantau betul-betul dengan rapi supaya kalau ada kenaikan itu dia tidak sampai kepada mencatut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, KPDN telah melaksanakan sejumlah 3,275 pemeriksaan dibuat dalam Ops Pantau 2025 bagi sehingga Mac.
Beliau berkata pemeriksaan itu dijalankan di seluruh negara dengan lokasi tumpuan di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.
Berdasarkan statistik, Perak menjadi negeri tertinggi merekodkan 10 kes diikuti Selangor empat kes, Sabah tiga kes serta masing-masing dua kes di Johor dan Kelantan.
“Selepas dua hari dilaksanakan, kita juga terima 116 aduan, keluarkan 21 kompaun bernilai RM6,600 dan nilai rampasan sebanyak RM900,” katanya lagi. – MalaysiaGazette