JASIN – Hasrat dua sepupu menuju kedai makan dipercayai untuk bersahur berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam nahas motosikal di hadapan Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Baginda, Merlimau di sini awal pagi tadi.
Ia selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh tiang elektrik ketika cuba memotong sebuah kereta dalam kejadian kejadian kira-kira 12.15 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, mangsa Ibnu Hakimi Abdul Rahman, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas tercampak manakala pemboncengnya yang juga sepupu lelaki berusia 17 tahun luka di tangan dan kaki.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Umbai ke Serkam cuba memotong sebuah kereta dihadapannya dan pada masa sama datang sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 31 tahun dari arah depan sedang membelok ke kanan memasuki Jalan Muhibbah.
“Mangsa bagaimanapun tidak sempat mengelak motosikal itu yang berada dilaluannya dan terbabas ke bahu kanan jalan sebelum merempuh tiang elektik Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pelanggaran mengakibatkan mangsa tercampak dan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan.
“Sepupu lelaki mangsa dan penunggang motosikal lelaki berusia 31 tahun masing-masing luka di kaki dan tangan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette