Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas perbicaraan prosiding bela diri kes penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 DISEMBER 2024. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pembelaan Datuk Seri Najib Razak menyatakan, empat individu bertanggungjawab terhadap pemindahan dana berjumlah kira-kira AS$1.36 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Ketua Pegawai Kewangannya, Azmi Tahir, bekas peguam kanan 1MDB, Jasmine Loo dan ahli perniagaan, Terrence Geh.

Menurut kenyataan firma guaman Shafee & Co. yang mewakili Najib, tiga bekas pegawai kanan 1MDB itu telah memberi keterangan pada prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri manakala Terrence kekal sebagai pelarian dan berada di luar bidang kuasa Malaysia.

Perkara itu didedahkan hasil keterangan bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID) Bukit Aman, Senior Assistant Commissioner (SAC) R. Rajagopal pada perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 dana 1MDB di Mahkamah Tinggi.

Kenyataan itu menyatakan, Rajagopal merupakan pegawai yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan salah urus di 1MDB berikutan laporan yang dibuat oleh bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 12 Disember 2014.

Rajagopal yang dipanggil sebagai saksi pembelaan ke-11 (DW11) dalam keterangannya berkata, pemindahan awal dana AS$700 juta ke dalam Good Star Limited (syarikat milik Low Taek Jho (Jho Low) dilakukan oleh Casey Tang berdasarkan arahan CEO 1MDB ketika itu, Shahrol Azral.

Menurut bekas pegawai kanan polis itu, beliau pelik apabila Shahrol Azral hanya melihat buat pertama kali dokumen `perjanjian pinjaman’ dengan PetroSaudi International Limited ketika ia ditunjukkan kepadanya oleh pihak polis semasa rakaman kenyataan.

Dokumen ini kononnya digunakan untuk membenarkan pemindahan AS$700 juta daripada pelaburan 1MDB kepada satu entiti yang tidak didedahkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Rajagopal memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya bersambung minggu depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here