KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MBD), Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin tidak menyimpan nombor telefon Datuk Seri Najib Razak, apatah lagi menjadi proksi kepada bekas Perdana Menteri.
Menurut kenyataan firma guaman Shafee & Co. yang mewakili Najib, Che Lodin dalam keterangannya mengaku hubungannya dengan bekas Menteri Kewangan itu hanya bersifat rasmi.
Saksi pembelaan ke-12 (DW12) itu dalam keterangannya turut membetulkan salah faham yang mendakwa Najib melantiknya ke jawatan di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings.
“Pelantikan itu dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamed dan bukan Menteri Pertahanan yang lain,” demikian menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan hari ini.
Che Lodin menyatakan demikian pada perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB melibatkan Najib.
Saksi pembelaan itu turut menyangkal dakwaan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang menyatakan bahawa wujud pendekatan `top-down’ dalam pengurusan 1MDB.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa kelulusan Najib terhadap pelaburan syarikat selalu mendahului keputusan Lembaga Pengarah.
Menurutnya, seperti mana-mana syarikat lain, Lembaga Pengarah perlu mendapatkan kelulusan pemegang saham sebelum meneruskan sebarang pemerolehan atau pelupusan aset yang besar.
“ Ini adalah syarat di bawah Akta Syarikat yang terpakai kepada semua syarikat,” ujar kenyataan itu.
Selain itu, beliau turut menyangkal tuduhan bahawa bekas Perdana Menteri yang mahu menamatkan perkhidmatan syarikat audit antarabangsa, KPMG sebagai juruaudit 1MDB.
Menurutnya, isu antara KPMG dan 1MDB telah dibincangkan dalam tempoh yang lama sebelum kontrak mereka ditamatkan secara persetujuan bersama.
Kenyataan itu juga menyatakan, Che Lodin menjelaskan bahawa Najib yang ketika itu Perdana Menteri telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan wakil KPMG untuk menyelesaikan kebuntuan tetapi tidak berjaya.
Isu berkaitan penilaian aset anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited yang ditimbulkan oleh KPMG akhirnya dapat diselesaikan dengan mudah oleh penggantinya, iaitu firma audit Deloitte Kassim Chan.
Menurutnya, setiap firma audit mempunyai kaedah penilaian yang berbeza, dan KPMG tetap berpegang kepada kaedah mereka walaupun syarikat menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan dokumentasi yang diminta.
Kata kenyataan itu, bukti yang dikemukakan jelas menunjukkan tidak pernah ada sebarang kekeliruan dalam syarikat berkenaan mengenai tiga peranan Najib iaitu selaku Pengerusi Lembaga Penasihat (CBOA), Perdana Menteri (PM), dan wakil pemegang saham (Menteri Kewangan Diperbadankan – MOF Inc.).
Ujar Che Lodin, Lembaga Pengarah sentiasa mematuhi prosedur tadbir urus korporat mengikut Akta Syarikat, khususnya di bawah Seksyen 132C dan Seksyen 147(6) yang menghendaki kelulusan pemegang saham sebelum sesuatu transaksi besar boleh diteruskan.
Rekod mesyuarat Lembaga Pengarah dan resolusi pemegang saham menunjukkan bahawa apabila kelulusan diperlukan, Najib menandatangani resolusi dalam kapasitinya sebagai wakil MOF Inc., iaitu pemegang saham 1MDB, bukan sebagai Perdana Menteri atau Pengerusi Lembaga Penasihat seperti yang didakwa oleh pendakwaan di bawah Artikel 117 atau Artikel 93 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan (M&A) syarikat. – MalaysiaGazette