Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, menghadiri majlis perasmian Bazar Ramadan dan Aidilfitri KL2025 yang berlangsung di Bazar Ramadan Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto NURIEZANIE ANWAR, 05 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi masa yang cukup kepada para peniaga untuk memohon lesen sah berniaga di bazar-bazar Ramadan.

Sehubungan itu, semua peniaga perlu mematuhi perkara-perkara yang digariskan oleh DBKL.

“Maknanya nak membuka Bazar Ramadan perlu ada lesen, perlu mematuhi syarat-syarat yang DBKL kenakan.

“Mereka sebenarnya boleh dari awal lagi memohon lesen. Jadi, kalau kita dah bagi masa untuk mereka laksanakan tapi mereka tak buat, ini satu yang mengecewakanlah.

“Kita membantu peniaga kecil…tetapi, peniaga kena juga bekerjasama dengan pihak DBKL khususnya sebagai pihak yang berkuasa,” katanya  mengulas tular rakaman di media sosial menunjukkan penguatkuasa DBKL menyita barangan peniaga Bazar Ramadan di Taman Wilayah Selayang dan Bazar Masjid Jamek, semalam.

Difahamkan, tindakan  itu diambil berikutan peniaga menjalankan perniagaan di tempat yang tidak sepatutnya hingga menganggu laluan pejalan kaki.

Terdahulu beliau melancarkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri DBKL 2025 di Bandar Sri Permaisuri, di sini, hari ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zaliha berkata, untuk tahun ini sebanyak 42 lokasi bazar Ramadan telah diwartakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, para peniaga yang mahu menjual makanan untuk juadah berbuka puasa perlu bersikap adil dengan  penjaja lain yang bertungkus-lumus mendapatkan lesen sah.

Zaliha percaya langkah yang diambil oleh DBKL dalam menguatkuasakan undang-undang di peringkat pihak berkuasa tempatan mendapat sokongan orang ramai.

Katanya, DBKL menggunakan pendekatan berhemah, selain memberikan edukasi kepada peniaga untuk menjadi penjual yang beinovasi.

Pelancaran program hari ini bukan sekadar membuka peluang perniagaan kepada peniaga tempatan, tetapi turut menyokong pelbagai inisiatif kelestarian bandar dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau dan mampan.

DBKL, melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), melaksanakan Kempen Sifar Sisa @ Bazar Ramadan yang bertujuan untuk mengurangkan pembaziran sisa makanan serta meningkatkan amalan kitar semula dalam kalangan peniaga dan pengunjung bazar.

Kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur ke Arah Sifar Sisa 2040 dengan sasaran mengurangkan 60 peratus sisa ke tapak pelupusan. – MalaysaiGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here