Keseluruhan dadah yang dirampas dan sitaan berjumlah RM1.17 juta.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1.17 juta dalam serbuan di sekitar Jelutong, di sini, pada Isnin lalu.

Serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang jam 8.45 malam itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan dan wanita warga asing  di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek lelaki yang dilakukan di hadapan sebuah kedai pada jam 8.34 malam sebelum polis menemui serbuk dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 118 gram.

Katanya, soal siasat ke atas suspek membawa kepada penemuan 50 botol mengandungi cecair jus minuman MDMA seberat 19,700 ml serta 16 cawan berisi dadah jenis sama seberat 627 gram di parkir kereta lokasi sama.

Jus MDMA antara dadah yang dirampas.

“Susulan penahanan suspek lelaki itu, polis menyerbu sebuah kondominium berhampiran dan menahan seorang wanita warga asing.

“Pemeriksaan lanjut kita menemui sebanyak 265 peket plastik mengandungi dadah MDMA seberat 6.71 kg serta 23 cawan mengandungi dadah jenis sama, seberat 966 gram.

“Kita turut menyita sebuah motosikal bernilai RM5,600 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan dan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah hampir RM1.17,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Hamzah, siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif dalam pengedaran dadah sejak Januari lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan 35,000 penagih dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah namun mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here