KUALA LUMPUR – Hanya 2.9 peratus yang menjalani ujian saringan kanser kolorektal ditawarkan secara percuma di klinik kesihatan kerajaan .
Ujian immunological Feacal Occult Blood Test (iFOBT) ini adalah langkah penting sebagai kaedah saringan awal yang boleh menyelamatkan nyawa.
Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan dan Pakar Bedah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nabil Mohammad Azmi, kadar kesedaran yang rendah dan kekangan sosioekonomi menjadi faktor utama rakyat Malaysia enggan menjalani saringan kanser kolorektal.
“Ramai pesakit datang mendapatkan rawatan hanya apabila simptom sudah teruk, sedangkan pengesanan awal melalui ujian mudah seperti iFOBT boleh mengelakkan komplikasi lebih besar,” katanya.
Tambahnya, salah satu cabaran utama dalam menangani kanser kolorektal ialah jurang akses kepada rawatan.
“Pesakit dari kawasan luar bandar sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rawatan kerana faktor jarak, kekurangan kemudahan kesihatan, dan kos perjalanan.
“Selain itu, hospital kerajaan yang menawarkan rawatan kolonoskopi mempunyai senarai menunggu yang panjang, menyebabkan kelewatan dalam diagnosis,” katanya.
Tambahnya, bagi pesakit yang memerlukan pembedahan, terdapat juga ketidaksamaan dalam akses kepada teknologi rawatan termaju seperti pembedahan laparoskopik dan robotik.

Hal ini kerana pesakit dari golongan berpendapatan rendah atau kawasan luar bandar sering menghadapi kekangan untuk mendapatkan rawatan berkualiti tinggi dalam masa yang cepat, jelasnya.
Menurut Dr. Nabil, kanser kolorektal kini menjadi antara penyakit paling membimbangkan di Malaysia, menjadikannya sebagai kanser kedua paling kerap dikesan dalam kalangan rakyat negara ini.
Justeru, usaha kolektif perlu dilaksanakan bagi mengurangkan jurang dalam rawatan kanser kolorektal di Malaysia.
“Salah satu langkah penting ialah melalui advokasi polisi kesihatan, kerajaan boleh meningkatkan lagi pembiayaan bagi program saringan kebangsaan serta mempermudah akses kepada ujian saringan.
“Selain itu, kesedaran awam juga perlu dipertingkatkan melalui kempen berskala besar seperti Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal yang jatuh pada bulan Mac bagi memastikan lebih ramai rakyat memahami kepentingan saringan awal dalam mencegah penyakit ini.
“Akses kepada saringan dan rawatan juga perlu dipermudah, termasuk menyediakan lebih banyak fasiliti kesihatan di luar bandar, menawarkan saringan bersubsidi, serta mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal yang disambut pada bulan Mac setiap tahun, Dr. Nabil menggesa masyarakat untuk tidak memandang remeh kepentingan saringan dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom berkaitan kanser kolorektal.
“Kanser kolorektal bukanlah hukuman mati jika dikesan awal. Dengan kesedaran dan tindakan proaktif, lebih ramai rakyat Malaysia boleh menjalani rawatan yang lebih cepat dan berkesan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette