KUALA LUMPUR – Harith Iskander dan Cecelia Yap dikompaun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebanyak RM10,000 setiap seorang terhadap dua individu atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook, pada 18 Januari 2025.
Tindakan kompaun yang dikenakan itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
MCMC berkata, pihaknya juga telah memohon Meta menurunkan kandungan tersebut setelah ianya didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook.
Selain itu, permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat.
“Permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta.
Dalam perkembangan lain, MCMC berkata, ia akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (AGC) esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio ERA FM.
Susulan kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam.
Satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.
Rakaman percakapan pihak terlibat dibuat bagi membantu siasatan.
Malah, menurutnya, Notis Niat bagi Penggantungan Lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio ERA FM.
MCMC berkata, pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil. – MalaysiaGazette