KUALA LUMPUR – Bekas penyampai radio terkenal, Linda Onn berpendapat kehidupan penggiat seni dahulu lebih bebas dan jauh berbeza dengan zaman kini yang semuanya dapat diekori mudah di hujung jari.
Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 48, berkata, ia berbeza dengan dunia hari ini apabila kehidupan sebagai selebriti kini lebih terikat dengan adanya pelbagai teknologi canggih.
“Sekarang zaman bahaya, tidak macam dulu. Dulu nak bergurau, tiada kamera merata-rata nak rekod dan tak ada media sosial untuk ditayangkan.
“Sekarang nak bercakap, bergurau atau bergerak sikit pun kena hati-hati dengan sekeliling.
“Ada yang merakam tak? Sebab kamera mudah akses sekarang, melekat dekat telefon. Dulu nak rekod apa-apa kena bawa kamera sendiri,” tulis di Instagram miliknya di sini.
Sementara, Linda turut menasihatkan agar sesiapa yang ingin membuat hantaran perlu berjaga-jaga supaya tidak meninggalkan impak negatif terhadap seseorang.
“Sikit-sikit nak rekod, selepas itu buat hantaran. Implikasinya pada orang yang menonton. Adakah mereka dapat terima apa yang mereka tonton?
“Kepada tangan yang memegang telefon atau kamera hati-hati, tangan ini boleh menggoncang dunia,” katanya.
Semalam, Nabil, Azad Jasmin dan Radin memohon maaf atas video kontroversi konten yang didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan yang sudah diturunkan daripada platform media sosial Era FM memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.
Susulan itu, ketiga-tiga penyampai radio Era FM itu hadir ke Bukit Aman pagi ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan dakwaan mempersenda upacara agama Hindu. – MalaysiaGazette