KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut keadilan sekiranya terdapat pihak yang secara sengaja menyinggung perasaan umat Islam walaupun dilakukan oleh orang kenamaan dan mempunyai jawatan dalam kerajaan.
Ia susulan kecaman sekeras-kerasnya terhadap tiga penyampai stesen radio tempatan milik Astro yang digantung tugas kerana dakwaan mempersenda penganut agama Hindu.
Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya juga tidak mahu melihat hukuman hanya dibuat oleh sebelah pihak sahaja, dan bila pihak lain yang membuat onar, ia didiamkan seribu bahasa.
“Perkasa mengalu-alukan siasatan dan juga tindakan yang bakal di ambil oleh mana mana pihak yang secara sengaja menyinggung perasaan penganut agama lain melalui apa jua platform Sosial media.
“…dan Perkasa juga mahukan keadilan juga sekiranya ada pihak-pihak lain yang secara sengaja menyinggung perasaan umat Islam walaupun, adakala ianya dilakukan oleh orang-orang kenamaan serta yang mempunyai jawatan dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dipetik berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan menghina atau mempersenda mana-mana agama termasuk Hindu, dalam siaran sebuah stesen radio tempatan milik Astro.
Beliau menegaskan bahawa, perbuatan tersebut bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas keharmonian negara.
Oleh itu, beliau mengingatkan semua pihak agar sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama serta budaya di Malaysia.
Mengulas lanjut Irwan Fahmi mendakwa, terdapat juga menteri yang sengaja menganggu gugat perpaduan kaum di negara ini dengan memainkan sentimen perkauman yang telah mengguris hati umat Islam.
Bagaimanpun katanya, tidak ada pun tindakan diambil oleh pihak kerajaan untuk menjatuhkan hukuman kepada individu tersebut yang di katakan bercakap atas kapasiti hak asasi manusia
“Adakah itu adil buat majoriti rakyat Malaysia?
“Perkasa juga menggesa pihak kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat apakah akta 3R yang di laungkan oleh kerajaan ini hanya memihak kepada satu satu pihak?
“Jika Melayu, hukuman terus diberikan jika bukan Melayu, hanya diam sahaja?
“Perkasa menuntut penjelasan dari pihak kerajaan dalam isu ini,” katanya.
Beliau mengharapkan, dalam situasi seperti itu tidak ada pihak yang cuba untuk membutakan mata dan membisukan suara rakyat dengan menghalang hak kebebasan bersuara bagi menegur dan mengkritik satu-satu dasar yang mendatangkan kerugian kepada bangsa majoriti. – MalaysiaGazette