PUTRAJAYA – Kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim kerana dakwaan memfitnah beliau menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor, selesai hari ini.
Penyelesaian itu dicapai susulan tindakan Perdana Menteri menarik balik saman fitnah berkenaan manakala Ahmad Amzad menarik balik kenyataan yang dipertikaikan.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini merekodkan penyelesaian luar mahkamah bagi tindakan saman sivil tersebut selepas pihak-pihak terbabit mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka.

Penyelesaian itu direkodkan oleh Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani. Perkembangan itu disahkan oleh peguam Anwar, Datuk S.N. Nair dalam satu kenyataan kepada pihak media hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihak-pihak terbabit telah mencapai penyelesaian di luar mahkamah dan bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan awam.
Kenyataan awam itu berbunyi: “Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung, pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan/atau penting yang perlu diberikan perhatian”.
Rentetan itu, Ahmad Amzad menarik balik kenyataan yang dibuat olehnya pada 7 Disember 2022 manakala Anwar menarik balik saman sivil berkenaan tanpa kos.
Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah serta berharap keputusan itu diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian negara.
Selain Nair, Anwar turut diwakili Narendran Letchiemanan dan Wong Guo Jin manakala defendan diwakili Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu.
Saman Fitnah ini difailkan oleh Perdana Menteri terhadap defendan pada 22 Disember 2022.
Anwar dalam afidavitnya mendakwa, pada 7 Disember 2023 defendan membuat beberapa kenyataan memfitnahnya kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.
Beliau menuntut ganti rugi am dan pampasan serta ganti rugi teruk dan teladan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa. – MalaysiaGazette