Logo Jabatan penjara Malaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia mengesan sindiket yang menyamar sebagai pegawai penjara menawarkan diri untuk membeli makanan istimewa kepada penghuni penjara dengan mengenakan bayaran tertentu.

Menurut jabatan itu, sindiket tersebut menyasarkan ahli keluarga serta waris penghuni penjara dan beberapa aduan daripada keluarga penghuni penjara berkaitan penipuan tersebut telah diterimanya.

Menurutnya, sindiket penipuan itu dilaporkan menyamar sebagai pegawai penjara dengan menggunakan nama samaran seperti Sarjan Haziq dan Sarjan Akmal yang bertujuan memperdaya ahli keluarga atau waris penhuni penjara menerusi pesanan ringkas
aplikasi WhatsApp.

“Sindiket juga menggunakan pelbagai nombor telefon mudah
alih dan meminta sejumlah wang kononnya untuk pembelian makanan istimewa bagi prospek di dalam institusi penjara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sindiket penipuan tersebut juga menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang bagi urusan pembelian makanan istimewa itu.

Katanya, laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang terlibat dan Jabatan Penjara Malaysia akan bekerjasama dalam membantu siasatan pihak polis.

Jelasnya, sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia menasihatkan ahli keluarga atau waris penghuni penjara yang menerima pesanan ringkas mencurigakan agar tidak membuat transaksi wang kepada individu atau nombor akaun tidak dikenali atau mencurigakan.

Mereka juga diminta membuat laporan polis sekiranya menerima
pesanan seumpama itu selain melaporkan perkara tersebut kepada pihak institusi penjara bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, Jabatan Penjara Malaysia komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan
prospek serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here