Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) perlu menyiasat kandungan marshmallow atau gula-gula kenyal yang didakwa dihasilkan menggunakan gelatin.
Ia susulan gesaan pengguna media sosial selepas mengetahui pengimportan makanan ringan itu ke Malaysia hingga menjadi kegilaan kanak-kanak.
Terdapat pihak yang mendakwa, marshmallow dan gula-gula kenyal yang dihasilkan di luar negara mudah masuk ke negara ini asalkan terdapat logo halal daripada negara pengimport dan ia diiktiraf Jakim.
Ia dijual secara terbuka di kebanyakan pasaraya dalam negara namun realitinya, ia adalah produk yang import, dibeli secara pukal dan dijual secara pembungkusan semula.
Lebih mengejutkan baru-baru ini, Jakim mengumumkan terdapat tiga badan pensijilan halal luar negara ditarik semula pengiktirafan halalnya.
Produk-produk yang mendapat pensijilan halal China Islamic Association (CIA) dari China, Centre For Halal Quality Certification (CHQC) dari Croatia dan Ritual Association of Lyon’s Great Mosque (ARGML) dari Perancis dilarang masuk ke Malaysia buat masa ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, larangan itu berkuat kuasa hingga ketiga-tiga badan pensijilan itu membuat penambahbaikan dan pembetulan terhadap kesilapan mereka seperti dikehendaki JAKIM.
Pengilang di Malaysia juga tidak terkecuali untuk melalui dan mengikuti proses yang ketat daripada JAKIM mahu pun DVS untuk menghasilkan produk berkait dengan makanan sebelum ia boleh dipasarkan.
Mengambil contoh marshmallow atau gula-gula kenyal, majoriti pengguna tidak tahu bahawa bahan asasnya iaitu gelatin dihasilkan melalui hidrolisis kolagen yang diperoleh daripada kulit dan tulang haiwan seperti lembu, babi, dan ikan.
Dalam wawancara bersama Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM pada 2018, Dr. Azilawati Mohd Ismail mendedahkan gelatin dalam pasaran dunia banyak diperolehi daripada babi sebanyak 44%, lembu 27% dan lain-lain adalah termasuk ikan, biri-biri, ayam serta kuda.
Dr Zulkifli Al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Maktabah AlBakri pula mendedahkan, kira-kira 90% pengeluaran gelatin global tidak dapat disahkan halal, dengan kebanyakannya dihasilkan di negara bukan Islam.
Pendedahan ini menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna Islam mengenai ketulenan produk yang mengandungi gelatin.
Malaysia kini bergantung kepada pengimportan geletin dari Bangladesh, India dan Pakistan.
Semua sumber semasa Bangladesh, India dan Pakistan berdasarkan tulang lembu halal sahaja.
Selain itu, terdapat laporan pelbagai kilang gelatin berasaskan kulit lembu di Pakistan yang gagal memenuhi piawaian halal beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehingga 2019, Malaysia meluluskan dan mengimport gelatin yang berasal dari kulit lembu dari Pakistan.
Bagaimanapun, Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kemudiannya mengenal pasti kejadian campuran kulit tidak halal semasa proses pengeluaran.
Penemuan ini membawa kepada peningkatan penelitian dan tindakan seterusnya untuk memastikan integriti halal produk gelatin kulit yang diimport.
Menjawab kebimbangan berhubung status halal import gelatin, Jakim dan DVS telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menegakkan piawaian halal.
Terutamanya pada tahun 2022, delegasi dari JAKIM dan DVS melawat Pakistan untuk memeriksa dan mengaudit pengeluar daging dan gelatin—di Karachi dan Lahore.
Berikutan pemeriksaan ini, semua loji gelatin berasaskan kulit di Pakistan didapati telah melanggar keperluan pematuhan halal dan seterusnya gagal mendapatkan pensijilan halal.
Hasil ini bukan sahaja menggariskan komitmen pihak berkuasa Malaysia untuk memastikan produk gelatin yang diimport memenuhi piawaian halal yang ketat, tetapi juga menyerlahkan tahap risiko yang ditimbulkan Gelatin Kulit dan usaha berterusan yang perlu dilakukan oleh JAKIM dan DVS; sekali gus menjaga integriti produk yang disahkan halal untuk pengguna Malaysia.
Langkah proaktif yang diambil oleh JAKIM dan DVS mencerminkan dedikasi mereka untuk mengekalkan integriti halal produk yang tersedia untuk pengguna Malaysia.
Oleh itu, mengamanahkan JAKIM dan DVS dengan tanggungjawab yang sangat penting untuk memastikan produk halal 100% tulen dan bebas keraguan sampai ke pasaran Malaysia.
Dengan menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan menguatkuasakan proses pensijilan yang ketat, agensi-agensi ini perlu bertindak sebagai barisan pertama pertahanan dalam memperjuangkan status halal.
Ia bukan sahaja membantu memastikan produk yang digunakan oleh umat Islam di Malaysia mematuhi piawaian halal malah memelihara keyakinan pengguna dan meningkatkan pematuhan agama.
Oleh Zarul Hafiz
Penulis adalah pempengaruh media sosial dan Ketua Unit Pendidikan Awam Persatuan Legasi Komuniti Progresif