GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru rakyat Malaysia agar berbelanja secara berhemah dan mengelakkan pembaziran sepanjang Ramadan, selaras dengan nilai kesyukuran dan kesederhanaan yang dituntut dalam Islam.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, Ramadan sepatutnya dijadikan sebagai bulan untuk muhasabah dan mendisiplinkan diri namun realitinya, ia sering bertukar menjadi pesta makan dan pembaziran.
Jelas beliau, pembaziran bukan sahaja membazirkan sumber malah menyumbang kepada perubahan iklim akibat pelepasan gas rumah hijau daripada makanan yang mereput.
“Penyediaan makanan secara berlebihan terutamanya di bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa, menyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan.
“Menurut SWCorp, sebanyak 75,000 tan makanan dibazirkan sepanjang Ramadan 2023, iaitu 15 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding bulan lain.
“Justeru, CAP menggesa masyarakat untuk membeli makanan secara bijak, menyimpan lebihan makanan dengan betul serta menyokong program sumbangan makanan kepada golongan memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohideen turut menekankan masalah sisa plastik yang meruncing sepanjang Ramadan berikutan penggunaan bekas plastik sekali guna yang tinggi di bazar.
Katanya, peningkatan sisa makanan dan pembungkusan plastik bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tetapi membebankan tapak pelupusan sampah.
“Sehubungan itu, kita harap pengguna membawa bekas makanan sendiri apabila membeli juadah di bazar Ramadan dan penjual juga digalakkan untuk menawarkan insentif kepada pelanggan yang membawa bekas mereka sendiri sebagai usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
“Dalam usaha memperkukuh kesedaran ini, kita menyokong kempen tanpa beg plastik yang diperkenalkan Perbadanan Putrajaya (PPj) di bazar Ramadan dan menyeru majlis perbandaran lain untuk melaksanakan langkah serupa bagi mengekang pencemaran plastik.
“Mengurangkan pembaziran makanan dan penggunaan plastik bukan sahaja satu langkah mampan tetapi juga selaras dengan nilai Ramadan yang mengutamakan kesyukuran dan keprihatinan terhadap alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette